Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hab perkhidmatan masyarakat Mawar papar sel penjara, kisah bekas pesalah

Program perjalanan pembelajaran didik generasi muda agar tidak silap langkah hingga masuk penjara
Feb 1, 2025 | 8:47 PM
Pengarah program Hab Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS) yang juga mengendalikan kumpulan dan program sokongan, Ustaz Basir Shariff, berdiri di sel penjara tiruan yang lengkap dengan tandas, tikar tidur, selipar dan selimut untuk memberikan gambaran sebenar keadaan di penjara.
Pengarah program Hab Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS) yang juga mengendalikan kumpulan dan program sokongan, Ustaz Basir Shariff, berdiri di sel penjara tiruan yang lengkap dengan tandas, tikar tidur, selipar dan selimut untuk memberikan gambaran sebenar keadaan di penjara. - Foto ST

Melangkah ke Hab Perkhidmatan Masyarakat Mawar (MCS) di Onan Road yang baru dilancarkan pada 1 Februari, orang awam, pelajar sekolah dan kumpulan korporat akan dibawa meninjau sel penjara yang boleh memuatkan empat orang dan lengkap dengan ‘prop’ persis keadaan sebenar di balik jeriji ruang tahanan.

Selain menjalani lawatan berpandu, pengunjung juga dapat melihat panel pameran dan mendengar perkongsian peribadi di samping bersembang dengan bekas pesalah mulai Mei, dengan bayaran nominal.

Ia merupakan sebahagian daya tarikan Program Perjalanan Pembelajaran Pengalaman Pencegahan Dadah dan Kumpulan Samseng, yang disertakan di dalam Program Perusahaan Sosial MCS.

Baru-baru ini, MCS – yang sebelum ini dikenali sebagai Khidmat Kaunseling Muslim di bawah bimbingan mantan pengerusinya, yang juga mantan Pengerusi Masjid Khalid, Allahyarham Alla’udin Mohamed, melalui proses penjenamaan semula sebagai Hab Perkhidmatan Masyarakat Mawar – membolehkan khidmatnya diperluas agar kekal relevan.  

“Selama bertahun-tahun lamanya, MCS telah mengendalikan kelas dan sesi kumpulan sokongan kami dari premis Masjid Khalid.

“Kami berterima kasih kepada Almarhum pengerusi kami, Haji Alau’ddin, kerana telah membuka ruang dan memindahkan operasi kami ke Hab MCS ini.

“Dengan kemeriahan hab ini, kami akan dapat meningkatkan kekerapan kelas, menawarkan pelbagai program baru dengan kemudahan tambahan seperti makmal komputer, dan akan dapat menampung lebih ramai peserta dan keluarga daripada semua kaum dan agama,” kongsi pengerusi yang baru dilantik, Kapten K. Shaukath Ali.

Majlis pelancaran MCS pada 1 Februari lalu dihadiri lebih 100 tetamu, dengan tetamu terhormat merupakan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Turut hadir ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Encik Shanmugam mengenang jasa Allahyarham Haji Alau’ddin dan juga berterima kasih kepada pihak masjid yang menyalur $25,000 bagi MCS.

Menurut pengarah program MCS yang juga mengendalikan kumpulan dan program sokongan, Ustaz Basir Shariff, MCS ingin menunjukkan kepada masyarakat, khususnya remaja dan anak muda, betapa sukarnya kehidupan di dalam penjara.

Beliau yang pernah keluar masuk penjara lebih 10 kali, dalam tempoh lebih 18 tahun, berkata:

“Kami telah mencipta sel penjara tiruan yang tepat, lengkap dengan tandas penjara, tikar tidur, selipar
dan selimut untuk memberikan gambaran sebenar tentang keadaan dalam sel.

“Anda hidup dengan keperluan asas sahaja dan ia bukan pengalaman yang baik.

“Kami ingin memberitahu orang muda tentang kesan dadah dan menganggotai kumpulan haram terhadap diri anda, secara fizikal, biologi, emosi dan bagaimana ia akan memusnahkan perhubungan.”

Ustaz Basir turut berharap pihaknya dapat menyampaikan mesej kepada pengunjung agar tidak membuang masa dan hidup mereka di dalam sel penjara.

Selain daripada tujuan pendidikan awam, sel tersebut akan digunakan sebagai sebahagian proses campur tangan atau intervensi, dan pemulihan terapeutik MCS.

“Kami merancang untuk menggunakan sel itu sebagai sebahagian daripada campur tangan reflektif bagi mereka yang memerlukannya secara sukarela. Mereka akan dipantau dan dibimbing oleh kaunselor kami,” tambah Ustaz Basir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg