Dengan kemusnahan yang meluas dan perpindahan besar berjuta penduduk di Bangladesh, Humanity Matters (HM) melancarkan kempen pengumpulan dana di Singapura untuk membantu mangsa yang terjejas.
HM juga bakal mengerahkan pasukan respons tiga orang pada 5 September ke Bangladesh untuk menilai keadaan di sana dan menyalurkan bantuan dan keperluan penting.
Kempen pengumpulan dana itu dilancarkan secara rasmi pada 3 September di Masjid Bencoolen, dengan kehadiran Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling, sebagai tetamu terhormat.
Turut hadir ialah Timbalan Mufti Singapura, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.
Semasa berucap, Cik Sun memetik laporan situasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang menyatakan bahawa “lebih 18 juta di Bangladesh telah terjejas oleh keadaan monsun yang teruk, dengan lebih 1.2 juta keluarga terperangkap apabila banjir kilat melanda kawasan yang luas di timur dan tenggara negara itu.”
Menurut HM, bencana sedemikian telah menyebabkan kemusnahan meluas dan teruk serta perpindahan besar berjuta-juta orang dan menjejas kehidupan serta mata pencarian mereka.
“Lebih 5.2 juta orang (di Bangladesh) terjejas teruk secara langsung,” kata HM yang bakal mengerahkan pasukan respons tiga orang pada 5 September.
Penasihat khas (kemanusiaan) bagi HM, Encik Hassan Ahmad, yang akan mengetuai pasukan tersebut, berkata:
“Antara skop bantuan kami adalah memberi air bersih untuk minuman dan masak. Kami juga akan membeli barang makanan untuk diagih kepada keluarga yang terjejas.”
Antara keperluan kemanusiaan lain yang akan disokong pasukan respons HM termasuk air, makanan, penjagaan kesihatan, kebersihan dan tempat tinggal, kata Cik Sun.
Buat masa ini, Encik Hassan sepasukan akan berada di sana antara satu dengan dua minggu dan kemudian ke India.
“Kami berharap dapat memungut lebih $300,000 untuk menyokong kerja-kerja kemanusiaan dan pembaikan di Bangladesh, India dan Nepal,” tambah Encik Hassan.
Kempen pengumpulan dana tersebut bermula 2 September hingga 15 Oktober 2024.
Semasa majlis pelancaran, Cik Sun turut menyampaikan tin sumbangan kepada pekerja migran dari beberapa syarikat pembinaan dan kejuruteraan untuk mereka mengutip sumbangan daripada rakan sekerja dan majikan mereka.
Antara syarikat yang membantu dalam usaha mengumpul dana ialah A-Plus Engineering, syarikat tempat Encik Mohammed Salim Patwary, 48 tahun, bertugas sebagai penyelia di A-Plus Engineering.
Beliau, yang sudah bekerja di Singapura selama 23 tahun, berkongsi:
“Kampung halaman saya, Lakshmipur di Bangladesh, terjejas dengan paras air setinggi pinggang. Rumah yang saya sendiri bina di sana sudah dimasuki air.
“Saya gembira dengan bantuan dan sokongan yang diberikan walaupun saya tahu hanya sesetengah kawasan boleh diakses bantuan manakala sesetengah lagi tidak boleh, mungkin kerana kawasan itu agak besar atau sukar dicari.”
Menurut HM, lebih banyak hujan monsun yang melanda kediaman dan pertanian di Bangladesh dan India yang diramal turun dalam beberapa minggu akan datang termasuk di seluruh Pakistan dan Nepal.
Dana dan bantuan akan turut disalurkan ke kawasan yang terjejas di India dan Nepal.
Dengan pekerja migran dari India dan lebih 200,000 pekerja migran dari Bangladesh membentuk peratusan besar tenaga kerja migran di Singapura, Cik Sun mengakui “kebimbangan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan keluarga (mereka) di tanah air masing-masing akibat musim tengkujuh yang teruk dan berpanjangan tahun ini (2024)”.
Cik Sun turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan bantuan sedaya upaya mereka dan menyokong usaha pengumpulan dana tersebut agar dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat pekerja migran.
Butiran untuk menderma adalah seperti berikut:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg