Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura peruntuk $250,000 bantu mangsa cuaca buruk di Asia

Dec 1, 2025 | 1:34 PM
Kelaniya, Sri Lanka, palang merah singapura, red cross
Para penduduk meredah jalan raya yang ditenggelami air susulan kejadian puting beliung di Kelaniya, Sri Lanka, pada 30 November. - Foto REUTERS

Palang Merah Singapura (SRC) memperuntuk $250,000 untuk menyokong lima persatuan palang merah serta bulan sabit di rantau ini dalam membantu masyarakat yang terjejas akibat cuaca buruk.

Persatuan Palang Merah Sri Lanka (SLRCS), Palang Merah Indonesia (PMI), Palang Merah Thailand (TRCS), Persatuan Palang Merah Vietnam (VNRC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC), masing-masing akan menerima $50,000 untuk menyokong usaha bantuan dan pemulihan segera, kata SRC dalam satu kenyataan pada 1 Disember.

Menurut The Straits Times (ST), hujan tengkujuh teruk, ribut tropika dan angin puting beliung mencetuskan banjir dan tanah runtuh yang meluas di seluruh Asia Tenggara dan Sri Lanka, menyebabkan kehilangan nyawa, perpindahan besar-besaran, kemusnahan rumah dan kerosakan teruk pada prasarana kritikal.

PMI, MRC, TRCS dan VNRC kini giat menghulurkan bantuan di lapangan, kata SRC.

Melalui cawangan masing-masing, mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengendalikan pusat pemindahan, membantu pemindahan, menghantar bantuan segera seperti makanan, air dan bekalan penting, menyokong operasi pembersihan dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan yang paling teruk terjejas.

TRCS turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Hat Yai untuk membantu mereka yang terjejas, termasuk pelancong dari Singapura yang terkandas di kawasan yang dilanda banjir, kata SRC.

Di Sri Lanka, SLRCS mengaktifkan operasi kecemasan di seluruh rangkaian 25 cawangannya, mengerahkan pasukan tindak balas bencana untuk menyokong operasi menyelamat, menyediakan pertolongan cemas, mengagihkan bantuan dan menilai keperluan segera.

Sukarelawan bekerja sepanjang masa untuk menyokong keluarga terjejas.

Ketua yang juga Setiausaha Agung SRC, Encik Benjamin William, berkata:

“Penduduk di seluruh Indonesia, Malaysia, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam sedang menanggung kesan buruk akibat bencana yang disebabkan oleh iklim.

“Beribu-ribu keluarga kehilangan rumah, mata pencarian dan akses kepada keperluan.

“Persatuan palang merah serta bulan sabit di negara masing-masing berada di barisan hadapan dalam menyalurkan bantuan kritikal dan SRC tetap komited untuk berdiri bersama mereka.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg