Hujan lebat pada petang 5 Mei telah menyebabkan banjir kilat di Woollerton Drive di kawasan Holland dan King’s Road di Bukit Timah, pada kira-kira 2 petang.
Agensi air negara, PUB, melaporkan kejadian itu di media sosial X dan memaklumkan pegawainya telah dikerah bagi membantu orang ramai yang terjejas.
Menurut PUB, paras air kembali surut sebelum 2.25 petang.
Pada awal hari, PUB telah mengeluarkan amaran tentang kemungkinan berlaku banjir kilat di beberapa bahagian Singapura, termasuk dua kawasan di Margaret Drive di Queenstown.
Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada berada di kawasan tersebut sekurang-kurangnya sejam kerana risiko banjir kilat.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu makluman di laman webnya menjangkakan hujan lebat di kawasan selatan, timur dan tengah Singapura antara 1.20 tengah hari dengan 2 petang pada 5 Mei.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) sebelum ini turut meramalkan hujan petir di beberapa kawasan pada sebelah petang sepanjang separuh pertama Mei.
Singapura juga dilanda hujan lebat pada pagi Hari Mengundi 3 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg