Banjir kilat menjejas beberapa kawasan di barat Singapura pada petang 4 Disember selepas hujan lebat disertai guruh melanda banyak bahagian di seluruh pulau ini.
Dalam satu catatan di Facebook, agensi air negara, PUB, berkata banjir kilat berlaku di empat lokasi selepas hujan lebat menyebabkan longkang kecil dan besar di sekitarnya tidak mampu menampung aliran air buat sementara waktu.
Empat lokasi tersebut ialah Pandan Road; Boon Lay Avenue (antara Jalan Boon Lay dengan Boon Lay Drive); Persimpangan Boon Lay Way dan Corporation Road; Pesawat Drive (sebelum Jurong Port Road)
Hujan lebat melanda banyak kawasan di seluruh Singapura dari 2.40 petang hingga 3.45 petang, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
“Paras hujan tertinggi sebanyak 113.4 milimeter direkodkan di barat Singapura dari 1.45 tengah hari hingga 3.25 petang.
“Jumlah ini bersamaan 36 peratus daripada purata hujan bulanan Singapura bagi Disember, dan termasuk dalam 2 peratus rekod hujan harian maksimum tertinggi sejak 1978,” menurut PUB dalam catatan Facebook tersebut.
PUB menambah pihaknya mengerahkan Pasukan Respons Pantas (QRT) bagi mengalihkan trafik dari lorong yang terjejas oleh banjir, serta membantu para pemandu dan penunggang motosikal.
Sebelum ini, PUB memberi amaran pada wadah X bahawa beberapa jalan raya di selatan, barat daya dan barat Singapura juga perlu dielakkan kerana risiko banjir kilat, lapor The Straits Times (ST).
Kawasan tersebut ialah Persimpangan Clementi Road dan West Coast Road; Craig Road, dari Duxton Road ke Tanjong Pagar Road; Persimpangan Neo Pee Teck Lane dan Pasir Panjang Road; Persimpangan Boon Lay Way dan Corporation Road; Dari Corporation Road ke Jurong West Street 51; Enterprise Road, dari Wan Lee Road ke Jalan Boon Lay; Jalan Boon Lay, dari Enterprise Road ke International Road; Persimpangan Chin Bee Road dan International Road; dan Persimpangan Jalan Tukang dan Chin Bee Road.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) berkata pada 1 Disember Singapura dijangka mengalami hujan sederhana hingga lebat berserta ribut petir di beberapa kawasan pada tengah hari, bagi kebanyakan hari dalam dua minggu pertama Disember.
MSS juga menambah hujan mungkin berlarutan sehingga waktu malam pada beberapa hari.
Menurut MSS, kadar hujan bagi dua minggu pertama Disember juga dijangka berada pada paras purata di kebanyakan kawasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg