Singapura dijangka mengalami hujan yang sederhana hingga lebat berserta ribut petir di beberapa daerah pada tengah hari bagi kebanyakan hari dalam dua minggu pertama Disember, menurut Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam kenyataannya pada 1 Disember.
MSS juga menambah hujan mungkin berlarutan sehingga waktu malam pada beberapa hari.
Menurut MSS, kadar hujan bagi dua minggu pertama Disember juga dijangka berada pada paras purata di kebanyakan kawasan.
Suhu harian pula dijangka berada antara 24 darjah Celsius dengan 33 darjah Celsius pada kebanyakan hari sepanjang tempoh tersebut.
Walaupun hujan dan ribut petir diramal berlaku pada kebanyakan hari, suhu maksimum harian boleh mencecah sekitar 34 darjah Celsius bagi beberapa hari, lapor The Straits Times (ST).
Keadaan monsun timur laut dijangka berterusan dalam dua minggu pertama Disember, dengan tiupan angin yang datang terutamanya dari arah barat laut atau timur laut.
Mengulas keadaan cuaca bagi dua minggu terakhir November, MSS berkata keadaan peralihan monsun berlaku di seluruh pulau dan kawasan sekitarnya pada pertengahan bulan, dengan angin yang umumnya lembut dan berubah-ubah arah.
“Pada minggu terakhir November, angin aras rendah mula kuat dan bertiup dari arah barat, dan pada beberapa tempoh, dari arah timur laut,” tambah MSS.
Hujan dan ribut petir turut turun di beberapa kawasan sekitar Singapura pada kebanyakan hari, manakala ribut Sumatera turut membawa hujan dan ribut petir serta angin kencang pada beberapa malam.
Pertembungan angin di rantau ini telah membawa hujan lebat berserta ribut petir di banyak kawasan di Singapura pada petang 17 November, dengan kawasan Clementi mencatat kadar hujan harian sebanyak 70.4 milimeter (mm) — bacaan tertinggi bagi tempoh dua minggu tersebut.
Menurut MSS, suhu maksimum harian dalam separuh kedua November berada antara 32 darjah Celsius dengan 34 darjah Celsius pada kebanyakan hari.
Suhu maksimum harian tertinggi dalam dua minggu terakhir November adalah 35.2 darjah Celsius, yang dilaporkan di kawasan Paya Lebar pada 29 November.
Kadar hujan di kebanyakan daerah Singapura dalam tempoh ini adalah di bawah paras purata, dengan hujan di kawasan Sembawang berkurangan sebanyak 50 peratus berbanding kadar purata.
Sebaliknya, hujan lebih banyak turun di kawasan Sentosa, dengan kadarnya mencecah lebih 59 peratus daripada paras purata.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg