Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PUB tingkat pantau banjir dengan 650 penderia tambahan jelang 2028

Liputi kira-kira satu sensor paras air bagi setiap kilometer laluan air dan terusan utama bagi kesan paras air
Nov 17, 2025 | 6:53 PM
PUB, paras air, sensor
Menjelang 2028, sebanyak 650 penderia atau sensor paras air akan dipasang di saliran dan terusan serata Singapura bagi mempertingkat tahap pemantauan banjir di sini, kata agensi air negara PUB pada 17 November. - Foto PUB

Lebih 600 penderia atau sensor paras air akan dipasang di saliran dan terusan serata Singapura menjelang 2028 bagi mempertingkat tahap pemantauan banjir di sini.

Demikian menurut kenyataan agensi air negara PUB pada 17 November.

Seiring penderia, rakaman video litar tertutup (CCTV), pengukur, radar dan kenderaan tindak balas banjir yang sedia ada, pemasangan lebih banyak sensor akan turut membantu PUB mengerah Pasukan Respons Pantas (QRT) lebih tepat pada masanya, tambah agensi itu.

Buat masa ini, PUB mempunyai lebih 1,000 penderia paras air dan lebih 500 CCTV, pengukur hujan, radar cuaca dan kenderaan.

Timbalan Ketua Eksekutif kelompok Daya Ketahanan Banjir PUB yang baru ditubuhkan, Cik Angela Koh, berkata:

“Pemantauan dan tindak balas terhadap banjir merupakan salah satu teras utama dalam usaha PUB mengurangkan kesan akibat kejadian banjir.

“Sensor ini juga berperanan penting semasa siasatan selepas banjir, membantu kami membuat penilaian lebih tepat terhadap keberkesanan prasarana saliran air di sini.”

PUB membuat pengumuman tersebut sempena pelancaran kempen kesedaran banjir tahunannya menjelang musim hujan akan datang.

Kempen pertama seumpamanya dilancarkan pada penghujung 2024.

Edisi kempen kali ini bertema, ‘Tiada sesiapa yang ingin basah kuyup’.

Ia menggalak kesiapsiagaan masyarakat dengan mengetengahkan tindakan yang boleh diambil oleh pejalan kaki, pemandu kenderaan, serta pemilik rumah dan bangunan untuk melindungi diri dan harta benda daripada banjir.

Menurut agensi itu, usaha pemasangan lebih banyak penderia paras air itu bakal menjadikan pemantauan PUB meliputi kira-kira satu sensor paras air bagi setiap kilometer laluan air dan terusan utama.

Menurut PUB, keupayaan pemantauan banjir yang dipertingkat juga membantu agensi itu mengeluarkan amaran segera kepada orang ramai supaya mereka dapat membuat persediaan dan mengambil tindakan secara lebih berkesan, jika berlaku banjir.

Di samping itu, PUB berkata ia sedang menyepadukan amaran banjir pada aplikasi peta digital, Google Maps, dan menggunakan isyarat telefon bimbit untuk meramalkan hujan lebat dengan lebih baik.

Kesemua usaha itu, jelas PUB, dilakukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap banjir kilat di Singapura.

“PUB sedang bekerjasama dengan Institut Hidroinformatik (H2i) dan Starhub dalam projek yang menggunakan isyarat selular bagi memberikan anggaran intensiti hujan dengan lebih tepat.

“Ia disasar siap pada penghujung 2025, dan berpotensi untuk dilaksanakan ke seluruh pulau,” tambah PUB.

Ini di samping usaha berterusan agensi itu untuk mempertingkat sistem saliran di kawasan seperti Bukit Timah.

PUB berkata antara lain, kerja-kerja sedang dilaksana di sepanjang terusan.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan pada 17 November, Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) berkata hujan guruh dijangka berlaku di beberapa kawasan Singapura pada sebelah tengah hari.

Keadaan hujan itu mungkin berlarutan sehingga petang dalam beberapa hari akan datang, tambah MSS.

Ribut Sumatra juga mungkin membawa hujan guruh yang meluas dan angin kencang pada sebelah pagi semasa tempoh itu.

Tahap hujan untuk separuh kedua November diramal melebihi purata di kebanyakan bahagian Singapura.

Suhu maksimum harian berkemungkinan berada dalam julat antara 32 darjah Celsius dengan 33 darjah Celsius untuk sebahagian besar hari-hari mendatang, tetapi mungkin mencapai sekitar 34 darjah Celsius bagi beberapa hari.

Musim tengkujuh dari arah timur laut dijangka berlaku sekitar penghujung November, membawa angin kencang agak sejuk yang bertiup dari Hemisfera Utara ke arah khatulistiwa.

Musim ini biasanya berlarutan hingga Mac, tambah MSS.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg