Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank akan wajibkan pengesahan wajah Singpass bagi pelanggan guna token digital

Sep 18, 2024 | 6:16 PM
Pelanggan yang tidak mempunyai akaun Singpass boleh mendaftar untuk membuatnya dan memuat turun aplikasi Singpass sebelum menggunakan token digital.
Pelanggan yang tidak mempunyai akaun Singpass boleh mendaftar untuk membuatnya dan memuat turun aplikasi Singpass sebelum menggunakan token digital. - Foto VIVIAN BALAKRISHNAN/FACEBOOK

Pelanggan bank tidak lama lagi perlu menggunakan Pengesahan Wajah SingPass (SFV) bagi mengesahkan identiti mereka semasa menggunakan token digital, dalam usaha melindungi mereka dengan lebih baik daripada penipuan.

Bank utama di sini akan melaksanakan langkah itu secara berperingkat sepanjang tiga bulan akan datang, menurut Persatuan Bank Singapura (ABS) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam satu kenyataan bersama pada 18 September.

Langkah itu akan menyukarkan penipu mengambil alih token digital pelanggan dengan menggunakan perantinya sendiri melalui maklumat pancingan data seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), kata laluan sekali sahaja (OTP) dan maklumat kad bank, kata ABS dan MAS.

Token digital mengesahkan log masuk dan urus niaga di aplikasi perbankan mudah alih seperti telefon bimbit, menghantar pemberitahuan yang meminta kebenaran pengguna perbankan – dalam proses Pengesahan Data Tahap Kedua (2FA) – sebelum transaksi dijalankan.

Pengesahan Wajah SingPass akan memperbaiki langkah pengesahan sedia ada. Ia melibatkan imbasan wajah bagi mengesahkan identiti pelanggan dengan rekod negara, sebelum token digital pelanggan boleh diaktifkan. Pelanggan tiada akaun Singpass boleh mendaftar bagi membuatnya dan memuat turun aplikasi Singpass sebelum menggunakan token digital, lapor The Straits Times.

“Pengesahan Wajah Singpass memberi lebih perlindungan kepada pelanggan daripada akses tanpa kebenaran kepada akaun bank mereka. Ia menambah pelbagai langkah dan alatan yang disediakan bank kepada pelanggan... untuk melindungi diri mereka daripada penipuan,” kata pengarah ABS, Cik Ong-Ang Ai Boon.

Daya usaha dan alat bantuan peribadi lain yang dilaksana termasuk menghentikan penggunaan OTP secara berperingkat bagi tujuan log masuk ke akaun bank pelanggan. Ini selain ciri “penguncian wang”, yang membolehkan pelanggan menetapkan jumlah wang yang “dikunci” atau tidak boleh diakses secara digital.

“Walaupun bank akan terus menjalankan peranannya untuk memerangi penipuan, pelanggan perlu berwaspada dan melakukan amalan kebersihan siber yang baik,” kata Cik Ong-Ang.

Penolong Pengarah Urusan bagi Dasar, Pembayaran dan Jenayah Kewangan MAS, Cik Loo Siew Yee, berkata MAS akan terus bekerja rapat dengan bank dalam langkah melindungi pelanggan daripada penipuan.

Dalam satu kenyataan pada 18 September, United Overseas Bank (UOB) menyatakan ia akan melaksanakan SFV di aplikasi UOB TMRW mulai Oktober. Jurucakapnya mengingatkan pelanggan penipu sentiasa mengubah teknik mereka dan langkah antipenipuan tidak memberi perlindungan penuh.

“Pelanggan kami terus menjadi pertahanan paling berkesan, jadi adalah penting mereka sentiasa berwaspada dan berhati-hati untuk melindungi diri dalam landskap ancaman yang sentiasa berubah ini,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg