Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

40 didakwa bagi kegiatan keldai wang di bawah undang-undang lebih ketat

Sep 8, 2024 | 4:35 PM
Seramai 40 orang disyaki telah memberikan atau menjual akaun bank mereka, butiran Singpass, atau kedua-duanya, kepada sindiket jenayah.
Seramai 40 orang disyaki telah memberikan atau menjual akaun bank mereka, butiran Singpass, atau kedua-duanya, kepada sindiket jenayah. - Foto SPF

Seramai 40 orang akan menghadapi tuduhan di mahkamah dari 9 hingga 11 September kerana didakwa terlibat dalam kegiatan keldai wang yang berkaitan penipuan.

Mereka akan didakwa atas kesalahan baru yang diperkenal pada 2023 berikutan pindaan Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) 1992 dan Akta Penyalahgunaan Komputer 1993.

Tujuh wanita dan 33 lelaki berusia antara 18 dengan 43 tahun itu disyaki telah memberikan atau menjual akaun bank mereka, butiran Singpass, atau kedua-duanya, dan membolehkan sindiket jenayah melakukan pengubahan wang haram, kata polis dalam satu kenyataan pada 8 September.

Sebahagian daripada mereka didakwa menipu bank untuk membuka akaun bank dan kemudian menyerahkan kad ATM serta butiran perbankan internet mereka kepada orang yang tidak dikenali.

Ada di antara mereka juga yang didakwa memberikan butiran Singpass mereka kepada sindiket jenayah, membolehkan sindiket itu menyalahgunakan identiti mereka untuk membuka akaun bank.

Dalam salah satu kes, seorang individu memberi orang yang tidak dikenali butiran Singpassnya apabila ditawarkan ganjaran wang tunai, kata polis.

Akibatnya, identitinya digunakan untuk membuka empat akaun bank.

Akaun tersebut juga digunakan untuk ‘membersihkan’ wang berjumlah lebih $500,000 hasil jenayah.

Dalam satu lagi kes, seorang individu memberi izin kepada seorang yang tidak dikenalinya untuk mengawal akaun banknya, yang kemudian digunakan untuk ‘membersihkan’ wang berjumlah lebih $300,000 hasil jenayah.

Mereka akan didakwa atas kesalahan baru yang diperkenal pada 2023 itu dengan tujuan membendung langkah membantu dengan penipuan, pergerakan hasil jenayah dan penyalahgunaan Singpass.

Ini dikuatkuasa pada 8 Februari 2024 dan menyasarkan sesiapa yang memberi akses akaun bank atau butiran Singpass mereka kepada pihak lain, yang kemudian menggunakan akaun dan butiran ini untuk melakukan penipuan serta ‘membersihkan’ hasil penipuan.

Mereka yang didapati bersalah membantu pihak lain menyimpan manfaat hasil perbuatan jenayah, menipu dan memberikan kata laluan atau butiran Singpass mereka kepada pihak lain, boleh dijatuhi hukuman penjara hingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya.

Panel Penasihat Hukuman pada Ogos telah menerbitkan garis panduan yang mengesyorkan hukuman penjara yang ketara – tempoh sekurang-kurangnya enam bulan – bagi kesalahan berkaitan penipuan termasuk membenarkan penipu mengawal akaun bank mereka atau memberi butiran Singpass.

Polis juga menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada menjadi subahat dalam jenayah.

Ini termasuk tidak memberi akaun dan butiran bayaran serta Singpass kepada orang lain; tidak membenarkan orang lain mengakses, mengendali atau mengawal akaun bayaran mereka; dan tidak menerima atau memindahkan wang bagi pihak sesiapa menggunakan akaun bayaran mereka kecuali mereka mengenali orang itu dan tahu di mana dia berada.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg