Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indranee: Acra kemas kini carian portal susuli pendedahan nombor NRIC

Ciri baru diaktifkan pada 24 Disember
Dec 19, 2024 | 8:36 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, berkongsi dalam satu sidang media pada 19 Disember bahawa Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) telah mengemas kini fungsi carian dalam portal Bizfile.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, berkongsi dalam satu sidang media pada 19 Disember bahawa Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) telah mengemas kini fungsi carian dalam portal Bizfile. - Foto ST

Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) telah mengemas kini fungsi carian dalam portal Bizfile yang dikendali badan itu, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah.

Pengemaskinian itu dilakukan agar nombor Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) tidak tertera dalam hasil carian, kata beliau dalam sidang media di Pusat Akhbar Nasional pada 19 Disember.

Sidang media hampir dua jam itu turut menyaksikan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo, dan Ketua Eksekutif Acra, Cik Chia-Tern Huey Min, memohon maaf kerana mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Kebimbangan itu tercetus setelah nombor penuh NRIC individu yang ada kaitan dengan perniagaan berdaftar di Singapura dapat diperolehi tanpa bayaran apabila menggunakan fungsi ‘People Search’ atau Carian Individu – yang dinyahaktifkan sejak 13 Disember – portal itu.

Cik Indranee berkata ciri yang dikemas kini itu tidak lagi memaparkan nombor NRIC dalam hasil carian dan akan diaktifkan semula mulai 24 Disember.

Beliau menambah, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti urutan peristiwa yang menyebabkan nombor penuh NRIC tertera di portal itu.

Beliau menjelaskan bahawa mereka yang masih memerlukan maklumat lanjut mengenai individu tertentu, termasuk nombor NRIC penuh, boleh membelinya daripada Bizfile.

Khidmat itu “sejajar dengan undang-undang yang ditadbir oleh Acra, seperti Akta Acra dan Akta Syarikat”.

“Perubahan ini menyebabkan beberapa pengguna Bizfile mengalami sedikit kesulitan kerana mereka mungkin tidak dapat mengenal pasti individu tertentu yang mereka cari daripada fungsi carian tersebut.

“Tetapi setelah menilai keadaan semasa, kami percaya ia adalah langkah wajar dalam mengimbangi antara ketelusan korporat dengan kebimbangan umum berkenaan maklumat peribadi,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau memberi penekanan bahawa Acra, lembaga berkanun di bawah Kementerian Kewangan (MOF), tetap memainkan peranan penting dalam memberikan akses maklumat kepada orang awam terhadap individu yang ada kaitan dengan perniagaan berdaftar di sini.

Ini setelah fungsi portal Bizfile meliputi maklumat yang tersedia di wadah umum “bagi memudahkan dan menyokong keperluan perniagaan yang sah”, seperti melaksanakan semakan ke atas perniagaan atau individu berkaitan.

“Misalnya, apabila mewakili anak guam, peguam mungkin perlu mengesahkan peranan anak guamnya dalam entiti perniagaan berbeza, pegangan saham mereka, dan status syarikat yang mereka terlibat.

“Mereka tidak boleh bergantung semata-mata pada dakwaan anak guam mereka, tetapi perlu melakukan semakan latar belakang menyeluruh sebagai sebahagian daripada usaha wajar bagi menilai keabsahan dan kredibiliti tuntunan anak guam mereka,” tambah Cik Indranee.

Dalam pada itu, Cik Chia memohon maaf kerana mencetuskan kebimbangan dalam kalangan golongan awam berikutan pendedahan butiran penuh NRIC di portal Acra.

Cik Chia berkongsi bahawa pendedahan nombor penuh NRIC di portal Acra berpunca akibat salah faham dan kesilapan dalam ehwal penyelarasan antara kakitangan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dengan Acra.

Salah faham itu timbul berikutan perutusan pekeliling oleh MDDI bagi agensi pemerintah berkenaan pemberhentian amalan menyembunyikan nombor NRIC di bawah perkhidmatan dan proses perniagaan yang baru, ujar Cik Chia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg