Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank, polis selamatkan lebih 8,700 pelanggan dari ditipu $73j

Jan 8, 2025 | 7:08 PM
Operasi bersama terbaru ini adalah yang keenam pada 2024 antara polis dengan pihak bank untuk memerangi penipuan.
Operasi bersama terbaru ini adalah yang keenam pada 2024 antara polis dengan pihak bank untuk memerangi penipuan. - Foto SPF

Lebih 8,700 pelanggan bank diselamatkan daripada kehilangan kira-kira $73 juta akibat penipuan apabila enam bank bekerjasama dengan Pusat Anti-Penipuan Polis (ASC) dan memanfaatkan teknologi untuk hentikan penipuan.

Sepanjang operasi selama dua bulan dari 1 November 2024 hingga 31 Disember 2024, pegawai ASC dan pihak bank telah menghantar sekitar 13,000 mesej pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan bank yang disyaki berisiko menjadi mangsa penipuan, kata polis pada 8 Januari.

“Pengesanan mangsa yang berpotensi ditipu telah berjaya menggagalkan lebih 1,444 penipuan yang sedang berlangsung dan mengelakkan kerugian kewangan melebihi $73 juta,” tambah kenyataan itu.

Pegawai ASC dan bank-bank memanfaatkan teknologi automasi proses robotik untuk mengesan mangsa yang berkemungkinan terlibat dalam penipuan pekerjaan, pelaburan, panggilan palsu, dan penipuan e-dagang, lapor The Straits Times.

Mangsa yang berpotensi telah mendapat mesej SMS untuk memaklumkan mengenai pemindahan wang mereka ke akaun yang mencurigakan dan dinasihatkan agar tidak meneruskan pemindahan wang.

“Setelah menerima mesej SMS, kebanyakan mangsa akan sedar bahawa mereka telah menjadi mangsa penipuan dan akan tampil untuk membuat laporan polis,” kata kenyataan itu.

Enam bank yang terlibat adalah DBS, UOB, OCBC, Standard Chartered, HSBC, dan GXS.

Operasi bersama terbaru adalah kerjasama yang keenam pada 2024 antara polis dengan bank-bank bagi memerangi penipuan.

Kerjasama serupa pada 2024 telah membantu mengesan dan memberi amaran kepada lebih 55,600 orang yang berisiko menjadi mangsa penipuan.

Ia berjaya menggagalkan lebih 13,000 penipuan dan melindungi lebih $420 juta simpanan mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan antipenipuan di 1799 atau layari www.scamalert.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg