Bank-bank di Singapura berkemungkinan mengurangkan pembiayaan atau menamatkan hubungan dengan syarikat yang melanggar peraturan, memandangkan sektor perbankan di sini mengamalkan dasar “sifar toleransi” terhadap kegiatan pembakaran terbuka dan penebangan hutan.

Ini berikutan penelitian yang semakin meningkat terhadap syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan krisis jerebu di rantau ini.

Menurut laporan The Business Times (BT), meskipun bank tempatan tidak dapat mengulas mengenai hubungan mereka dengan syarikat yang dikaitkan dengan jerebu, mereka berkata tindakan tegas akan diambil jika pelanggan mereka didapati melanggar syarat kelestarian yang ditetapkan.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan bagi OCBC, Encik Mike Ng, berkata:

“Sekiranya terdapat bukti jelas mengenai kelakuan yang melanggar syarat kelestarian kami atau undang-undang terpakai, kami akan mengambil tindakan tegas, termasuk mengurangkan sokongan pembiayaan atau menamatkan hubungan perniagaan.”

Ini sedang firma yang dikaitkan dengan krisis jerebu di rantau ini menghadapi kekangan hebat, selepas pemerintah Singapura meningkatkan tekanan terhadap syarikat sedemikian.

Perkara ini ditegaskan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, semasa ditemui pihak media selepas satu lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 19 Oktober.

Beliau menggesa pihak bank supaya mempertimbangkan risiko yang timbul daripada isu alam sekitar dan perundangan, memandangkan mereka mungkin telah membiayai syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran tersebut.

OCBC menyatakan ia menjalankan penilaian risiko alam sekitar, sosial, dan tadbir urus terhadap pelanggannya secara berkala sepanjang tempoh pembiayaan.

Proses ini merangkumi penilaian terhadap kapasiti, komitmen dan rekod prestasi pelanggan dalam menangani risiko sedemikian.

Jurucakap DBS pula menyatakan bank itu menyemak secara berkala sejauh manakah pelanggan mematuhi dasar kelestariannya, sebagai sebahagian daripada proses pendekatan pelanggan dan penilaian risiko berterusan.

Jurucakap tersebut menambah bahawa bank tersebut mempunyai “dasar yang ketat” berhubung isu penebangan hutan dan mempunyai pendirian tegas tanpa kompromi terhadap amalan pembakaran hutan.

Pihak bank juga mewajibkan pelanggan untuk mematuhi komitmen ‘Tiada Penebangan, Tiada Pembakaran Tanah Gambut, Tiada Eksploitasi’, namun beliau tidak memberi perincian lanjut tindakan susulan yang akan diambil sekiranya komitmen ini dilanggar.

UOB menyatakan ia mempunyai dasar khusus bagi sektor minyak sawit, yang mewajibkan pelanggan untuk menyokong prinsip tiada pembakaran terbuka, tiada pembangunan tanah gambut, dan tiada penebangan hutan.

Jurucakap UOB itu menambah, pihak bank sedang berkomunikasi dengan pelanggan mengenai keadaan jerebu semasa, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelanggan yang tidak mematuhi dasar tersebut.

Tindakan ini mungkin termasuk mengurangkan pembiayaan, mengehadkan penggunaan pinjaman bagi tujuan tertentu, atau menamatkan hubungan perniagaan.

Bank lain yang dihubungi BT – termasuk Citi, Standard Chartered, dan HSBC – enggan mengulas.

Sehubungan itu, Encik Shanmugam berkata Bursa Saham SGX telah mengemukakan soalan kepada tujuh syarikat pertanian yang disenaraikan di sini berhubung operasi dan sekiranya ia terkait dengan kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.

Tujuh syarikat itu ialah Golden-Agri Resources, Bumitama Agri, First Resources, Wilmar, Kencana Agri, Indofood Agri dan TSH Resources.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti