Seorang wanita nyaris-nyaris memindahkan hampir kesemua wang dalam akaun banknya – berjumlah lima angka – kepada seorang penipu.
Nasib baik mesej amaran pada fungsi PayNow dalam aplikasi banknya “menyedarkannya” tepat pada masanya.
“Pastikan anda benar-benar mengenali dan mempercayai individu yang ingin anda hantarkan wang tersebut,” demikian mesej amaran yang tertera itu.
Ketika itulah, Cik Julie, 32 tahun, yang enggan mendedahkan nama penuhnya, sedar bahawa situasi itu mungkin satu penipuan.
“Kenapa saya perlu hantar wang melalui PayNow kepada seorang ‘pegawai polis’? Itu memang tidak masuk akal,” kata beliau.
Cik Julie telah menaip nombor telefon bimbit seseorang yang menyamar sebagai Inspektor Jabatan Siasatan Jenayah (CID) daripada Pasukan Polis Singapura (SPF).
‘Inspektor Kanan Lau’ mendakwa wang Cik Julie akan disimpan dalam akaun selamat dan terjamin di bawah naungan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) selama tujuh hingga 14 hari sebelum ia dikembalikan kepadanya.
Cik Julie, seorang ejen hartanah, menghabiskan masa selama empat jam bercakap bersama tiga orang penipu yang menyamar sebagai kakitangan bank dan pegawai polis.
Kejadian itu bermula pada Mac 2024 apabila beliau menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali – sesuatu yang lumrah baginya, lebih-lebih lagi dalam bidang pekerjaannya.
Apa yang berlaku selepas itu, bagaimanapun, merupakan satu penipuan terancang, lengkap dengan dua dokumen palsu mahkamah, yang membuat Cik Julie percaya bahawa beliau sedang disiasat atas kesalahan pengubahan wang haram.
Walaupun sedar mengenai tanda-tanda mencurigakan, seperti diminta mengambil swafoto, Cik Julie tetap menurut arahan itu kerana terlalu gementar dan tertekan.
“Semuanya nampak begitu meyakinkan,” kata Cik Julie.
“Terlalu banyak keresahan dan tekanan dalam diri saya,” tambahnya.
Selepas tersedar, Cik Julie terus menamatkan panggilan telefon bersama ‘Inspektor Kanan Lau’ dan menghubungi bapa saudara angkatnya, yang kemudian mengesahkan kebimbangannya.
Beliau dan ibunya kemudian pergi ke balai polis untuk membuat laporan.
Rasa takut dan keliru serta tertekan hingga mematuhi arahan – inilah antara taktik biasa dalam penipuan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah.
Penipu akan menyamar sebagai pegawai polis, kakitangan bank atau pegawai penguat kuasa undang-undang asing.
Mangsa akan diberitahu bahawa mereka terlibat dalam jenayah, diberikan dokumen dan identiti palsu, lalu diminta memindahkan wang ke sebuah “akaun selamat” – yang mungkin juga dompet kripto – kononnya untuk membantu dalam siasatan.
“Penipu memperdaya orang ramai melalui kepercayaan dan kecenderungan kita untuk patuh pada pihak berkuasa,” kata Encik Jeffery Chin, Timbalan Pengarah di Pejabat Pendidikan Awam Penipuan, SPF.
“Mereka melemahkan keupayaan kita untuk berfikir dengan mencetuskan ketakutan dan mendesak kita supaya bertindak cepat,” tambah beliau.
Ada juga penipu yang berpura-pura ikhlas ingin membantu menyelesaikan masalah, dan mangsa akan percaya.
Dalam kes Cik Julie, penipu mengambil kesempatan ke atas kepercayaannya pada pihak berkuasa, sambil mewujudkan suasana penuh tekanan dengan tuntutan berterusan dan mendesak, agar beliau mematuhi arahan demi “membersihkan nama”.
Keadaan sebegini membuatkan seseorang bertindak cepat tanpa berfikir panjang.
Apakah patut anda lakukan?
Hentikan komunikasi dengan segera untuk mengelakkan diri anda daripada terus dimanipulasi dan semak keadaan itu dengan orang yang dipercayai.
“Selalunya, penipuan berjaya dilakukan kerana cara otak kita bertindak balas. Kita semua terdedah kepada taktik pujukan,” kata Encik Chin.
Cara terbaik untuk melindungi diri?
Fahami bahawa sesiapa sahaja, walau sehebat mana pun, boleh dieksploitasi dan tertipu. Kita perlu sentiasa berwaspada.
“Individu yang menyedari risiko penipuan lazimnya akan lebih berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri,” kata Encik Chin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg