Tabung Amal Aidilfitri (TAA) sekali lagi dipilih sebagai badan amal rasmi acara tahunan Celebfest 2025.
Festival ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec City dari 17 hingga 19 Oktober.
TAA akan berada di reruai 403-404 sepanjang acara itu bagi mendekati masyarakat, khususnya penderma dan penerima bantuan TAA, untuk berkongsi tentang usaha kebajikan yang dijalankannya sepanjang tahun.
Ketua Jawatankuasa Eksekutif juga Ketua Penyelaras Pengagihan Dana TAA, Encik Mohd Najiib Sahib, berkata: “TAA mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan kempen mengumpul dana Sinaran Hati dengan tema Seikhlas Sumbangan, Semanis Senyuman.”
Kempen Sinaran Hati TAA diadakan dari 15 September hingga 18 November dengan matlamat mengumpul sebanyak $350,000. Dana ini akan menambah kutipan yang diperoleh semasa Ramadan lalu bagi memastikan TAA dapat terus melaksanakan agihan bantuan tahunannya, yang kini mencecah $2 juta setahun.
Encik Najiib berkata: “Pungutan derma sepanjang bulan Ramadan sahaja tidak mencukupi bagi memenuhi matlamat agihan TAA. Oleh itu, kempen Sinaran Hati amat penting bagi memastikan TAA mempunyai dana yang mencukupi untuk meneruskan usaha membantu mereka yang memerlukan.”
Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, TAA telah menyalurkan bantuan kewangan kepada ribuan keluarga memerlukan, terutamanya semasa Ramadan setiap tahun, agar mereka dapat merasakan kegembiraan menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri serta mendapat sedikit kelegaan daripada tekanan kewangan yang dihadapi.
Pada 2024, lebih 3,500 keluarga menerima sokongan kewangan daripada TAA. Kebanyakan penerima adalah mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap akibat pelbagai cabaran, seperti masalah kesihatan, usia lanjut, isu rumah tangga, kehilangan pekerjaan, dan bermacam ujian kehidupan. Ramai dalam kalangan mereka tinggal di flat sewa satu atau dua bilik, dan mempunyai tanggungan berat, termasuk menjaga ibu bapa sakit dan anak-anak masih bersekolah.
Kehadiran TAA di acara gah Celebfest diharap menambah kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, akan kewujudan badan amal itu dan pelbagai perkhidmatan yang disediakannya. Usaha ini akan mendekatkan TAA dengan masyarakat dan memastikan TAA kekal relevan pada masa hadapan.
Setiap hari di Celebfest, TAA menyediakan berbagai tarikan bagi pengunjung, terutamanya penderma, termasuk beg cenderahati TAA berisi barangan jenama Unilever serta buah tangan ikhlas daripada TAA bagi setiap derma $10 ke atas.
Pada 17 Oktober, dari 5 petang hingga 8 malam, setiap pengunjung reruai TAA di gerai L04 akan mendapat aiskrim percuma tajaan Maybank.
Pada 18 Oktober, acara penstriman Kempen Sinaran Hati TAA akan berlangsung pada 1 petang hingga 3 petang, yang turut ditayangkan menerusi semua platform sosial TAA, termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Tetamu Kehormat acara itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Acara penstriman Kempen Sinaran Hati TAA, yang dihoskan oleh selebriti A. B. Shaik, termasuk persembahan khas lagu tema kempen Sinaran Hati yang akan dinyanyikan buat pertama kalinya secara langsung oleh seniman tempatan Art Fazil. Lagu tema itu adalah karya Art Fazil, dengan senikatanya diilhamkan bersama oleh Art Fazil dan Encik Mohd Najiib.
Selain itu akan diadakan segmen temu bual bersama Dr Syed Harun, keluarga TAA, termasuk penderma dan benefisiari TAA.
Setiap sumbangan untuk Dana Amal Sinaran Hati 2025 (TAA) membawa sinar harapan kepada benefisiari, yang sedang berjuang untuk meneruskan kehidupan.
Setiap dolar yang disumbangkan bukan sekadar bantuan kewangan kerana ia melegakan hati, menghasilkan ukiran senyuman, dan menerangi kehidupan mereka yang memerlukan.
“Marilah kita bersama-sama terus menyinari kehidupan masyarakat kita dengan kebaikan dan ihsan,” ujar Encik Najiib.
SEKILAS:
TAA adalah sebuah pertubuhan berstatus Institusi Bertaraf Awam (Institution of a Public Character (IPC)), oleh itu penderma boleh mendapat potongan cukai 250 peratus bagi sumbangan $50 ke atas mereka kepada TAA.
Ikrarkan sokongan anda hari ini: https://www.giving.sg/donate/campaign/sinaran-hati-charity-campaign-2025
Lungsuri laman www.taa.sg
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg