Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan Dana Wang Saku Sekolah ST bantu pelajar sertai aktiviti sekolah secara menyeluruh: Kajian

Oct 3, 2025 | 9:49 PM
Pengerusi STSPMF merangkap editor The Straits Times, Encik Jaime Ho (kanan), menerima cek bernilai $600,000 untuk STSPMF sempena memperingati SG60, daripada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MES, Encik Mohamed Abdul Jaleel. Ini merupakan sumbangan tahunan beliau yang ke-13.
Pengerusi STSPMF merangkap editor The Straits Times, Encik Jaime Ho (kanan), menerima cek bernilai $600,000 untuk STSPMF sempena memperingati SG60, daripada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MES, Encik Mohamed Abdul Jaleel. Ini merupakan sumbangan tahunan beliau yang ke-13. - Foto ST

Sokongan kewangan daripada Dana Wang Saku Sekolah The Straits Times (STSPMF) bukan sahaja meringankan kos makanan dan pengangkutan, malah turut membantu pelajar mengambil bahagian secara menyeluruh dalam aktiviti sekolah seperti program pengayaan dan kegiatan kokurikulum (CCA).

Hasil kajian yang diumumkan pada 3 Oktober menunjukkan penerima bantuan dana itu juga lebih bijak mengurus kewangan, termasuk menyimpan wang serta menetapkan matlamat perbelanjaan, menurut laporan The Straits Times (ST).

Kajian pengukuran impak yang dijalankan oleh Pusat Kecemerlangan bagi Kebaikan Sosial di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) melibatkan sekitar 690 keluarga dengan anak-anak penerima STSPMF di peringkat rendah, menengah dan pos-menengah.

Majoriti responden mempunyai pendapatan isi rumah bulanan di bawah $4,000.

Ditubuhkan pada 2000 oleh akhbar ST, dana itu bertujuan membantu kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan wang saku untuk membantu mereka menjalani alam persekolahan.

Sejak itu, ia telah membantu lebih 220,000 kanak-kanak dan belia, serta mengagihkan lebih $100 juta.

Ibu bapa penerima bantuan melaporkan peningkatan dalam amalan pengurusan kewangan isi rumah serta kemampuan menyediakan makanan lebih berkhasiat.

Pelajar pula melaporkan berkurangnya insiden terpaksa berlapar.

Lebih 60 peratus pelajar dan 70 peratus ibu bapa berkata bantuan itu memudahkan mereka menyertai CCA.

Ada yang menggunakannya untuk membiayai tambang tambahan ke sekolah bagi aktiviti luar waktu kelas, manakala ada pula yang membeli keperluan untuk meneruskan minat mereka.

Seorang responden mendedahkan sebelum menerima bantuan, keluarganya kadang kala terpaksa menggabungkan makan tengah hari dan malam kerana masalah kewangan.

Namun, dengan dana itu, keluarganya kini mampu makan tiga kali sehari.

Kajian sebelum ini dijalankan pada 2011. Kali ini, responden bersetuju dengan kuat bahawa dana tersebut telah meningkatkan amalan pengurusan kewangan keluarga serta memberi impak positif kepada pencapaian pelajar di luar akademik.

Sekitar 62 peratus keluarga berkata bantuan itu mengurangkan kesusahan mereka, manakala hampir 80 peratus bersetuju ia menambah baik mutu hidup.

Pengerusi STSPMF merangkap editor ST, Encik Jaime Ho, berkata kajian ini penting untuk memahami nilai yang telah diwujudkan bagi penerima bantuan serta membuat keputusan berasaskan data untuk memenuhi keperluan mereka dengan lebih baik.

Penemuan kajian ini diumumkan semasa majlis makan tengah hari penghargaan tahunan di Fort Canning Park pada 3 Oktober, yang turut menandakan ulang tahun ke-25 STSPMF.

Ia disertai karnival yang dinikmati lebih 900 murid sekolah rendah penerima dana tersebut bersama keluarga mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg