Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan hingga $120 bagi anggota kesatuan bergaji rendah

Jul 30, 2025 | 4:15 PM
Anggota kesatuan boleh menggunakan e-baucar mereka, yang sah sehingga 31 Disember 2025, di kedai-kedai yang mengambil bahagian, termasuk pasar raya FairPrice, farmasi Unity dan medan selera Kopitiam.
Anggota kesatuan boleh menggunakan e-baucar mereka, yang sah sehingga 31 Disember 2025, di kedai-kedai yang mengambil bahagian, termasuk pasar raya FairPrice, farmasi Unity dan medan selera Kopitiam. - Foto fail

Anggota kesatuan berpendapatan rendah boleh memohon bantuan sehingga $120 dalam bentuk baucar elektronik (e-baucar) bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka, kata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Daya usaha bernilai $1.2 juta itu turut dikenali sebagai Program NTUC Care (U Stretch) 2025, yang merupakan sebahagian daripada usaha menyokong keluarga bekerja yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Program itu membolehkan anggota kesatuan menggunakan wang mereka dengan lebih baik, khususnya bagi perbelanjaan seperti barangan runcit, penjagaan kesihatan dan makanan harian, memandangkan kos perbelanjaan harian kekal tinggi bagi banyak keluarga berpendapatan rendah, kata NTUC dalam satu kenyataan pada 30 Julai.

E-baucar tersebut, yang akan diberikan dalam pecahan $1, $2, $5 dan $10, boleh ditebus melalui sistem baucar digital RedeemSG, lapor The Straits Times (ST).

Anggota kesatuan boleh menggunakan e-baucar mereka, yang sah sehingga 31 Disember 2025, di kedai yang menyertai program ini, termasuk pasar raya FairPrice, farmasi Unity dan medan selera Kopitiam.

Program itu terbuka kepada anggota NTUC yang memenuhi syarat kelayakan untuk memohon, iaitu telah memegang keahlian selama sekurang-kurangnya enam bulan berturut-turut pada tarikh permohonan serta tidak mempunyai tunggakan yuran keahlian.

Anggota kesatuan yang tinggal bersendirian layak menerima e-baucar bernilai $60 sekiranya pendapatan kasar bulanan peribadi mereka – termasuk bayaran lebih masa dan elaun – tidak melebihi $1,650.

Mereka yang mempunyai anggota keluarga yang tinggal serumah layak menerima e-baucar bernilai $120 sekiranya pendapatan kasar bulanan isi rumah tidak melebihi $3,800. 

Jika pendapatan isi rumah melebihi jumlah tersebut, pemohon masih layak menerima e-baucar sekiranya pendapatan per kapita adalah $950 atau kurang.

Permohonan untuk program itu dibuka mulai 12 tengah hari pada 30 Julai sehingga 4 petang pada 3 September.

Bagi maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan penuh dan cara memohon, orang ramai boleh melayari laman web NTUC di www.ntuc.org.sg/ntuccareustretch.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg