Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

60 keluarga di Eunos terima bantuan runcit, pelajari cara pemakanan sihat

Jul 26, 2025 | 10:56 PM
‘Jalan with Your Buddy’, Persatuan Rakyat, UOB
Penerima manfaat program ‘Jalan with Your Buddy’, Cik Shariffah Suhailah Hassan Alkaff, Encik Mohammed Abdul Rahim, dan anak perempuan mereka, Shariffah Aisha Humairah Mohammed, memilih barangan runcit dengan bajet $100 bersama Ketua Pegawai Kemampanan UOB, Encik Eric Lim (kanan), di pasar raya Prime di Eunos pada 26 Julai. - Foto UOB

Sebanyak 60 isi rumah berpendapatan rendah dari kawasan Eunos menerima manfaat daripada program ‘Jalan with Your Buddy’ anjuran Persatuan Rakyat (PA) dengan kerjasama UOB pada 26 Julai.

Ini merupakan kali pertama program itu melibatkan sebuah syarikat bekerjasama rapat dengan PA untuk merancang dan melaksanakan kegiatan program bersama.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif masyarakat PA di bawah ‘Project We Care’ yang dilancarkan pada 2022, ‘Jalan with Your Buddy’ kali ini memberi tumpuan kepada usaha mendidik dan membimbing keluarga tentang pemakanan sihat dan kesedaran mengenai penipuan.

Selain itu, ia juga memberi bantuan sokongan runcit bernilai $100 bagi setiap keluarga.

Hadir semasa sesi itu selaku tetamu kehormat adalah Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim.

Dr Faishal juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.

Turut hadir adalah 60 sukarelawan UOB Heartbeat, iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UOB, yang menyokong pembangunan sosial dalam masyarakat menerusi tiga bidang utama iaitu kanak-kanak, seni dan pendidikan.

Di bawah ‘Jalan with Your Buddy’, setiap keluarga juga diberi peluang membeli barang keperluan harian di pasar raya Prime berdekatan, dengan bimbingan sukarelawan UOB Heartbeat yang berkongsi pengetahuan serta tip bermanfaat.

Antara keluarga yang meraih manfaat daripada program itu adalah keluarga Cik Shariffah Suhailah Hassan Alkaff.

Bagi Cik Shariffah, 47 tahun, yang bekerja sebagai pegawai keselamatan dan merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya, program itu datang tepat pada masanya.

Suaminya, Encik Mohammed Abdul Rahim, 52 tahun, tidak lagi mampu bekerja atas sebab kesihatan.

Pasangan itu, yang mempunyai empat anak, kini tinggal bersama anak bongsu mereka berusia lima tahun di sebuah flat sewa di Eunos.

Mengulas tentang apa yang dipelajarinya semasa program itu, Cik Shariffah berkata:

“Nasihat yang diberikan amat berguna, terutamanya tip pemakanan sihat. Saya amat berterima kasih kepada UOB kerana berkongsi maklumat tentang penipuan melalui telefon, sesuatu yang memang saya risaukan.

“Panduan mereka tentang apa yang perlu diperhatikan benar-benar menenangkan hati saya.”

Beliau turut berterima kasih kerana program itu membenarkan keluarga penerima memilih barangan yang benar-benar diperlukan.

“Ini kali pertama saya menyertai program sebegini... mereka kongsi tip berguna dan benarkan kami memilih sendiri barang keperluan, bukan sekadar menerima beg barangan sedia ada. Ini memang dapat ringankan perbelanjaan harian kami,” ujar Cik Shariffah.

Dengan penglibatan sektor korporat seperti UOB, program itu bukan sahaja menyediakan bantuan praktikal kepada keluarga yang memerlukan, malah memperkukuh jaringan sokongan sosial di peringkat akar umbi.

Ketua Kumpulan CSR UOB, Encik Leonard Tan, menjelaskan bahawa inisiatif itu juga selari dengan matlamat jangka panjang UOB dalam menyokong kanak-kanak dan pendidikan.

“Program ini beri peluang kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah belajar tentang nilai wang, membuat keputusan kewangan yang bijak, dan melindungi diri daripada penipuan, satu kemahiran yang penting untuk masa depan mereka,” kongsi Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg