Bantuan kemanusiaan terkini oleh Palang Merah Singapura (SRC) – yang terdiri daripada khemah untuk menyediakan tempat berlindung bagi 6,500 individu yang kehilangan tempat tinggal – telah tiba di Gaza.
Dalam satu kenyataan pada 7 Oktober, SRC berkata penghantaran terkini itu merupakan sebahagian daripada bantuan bernilai $1.2 juta yang diserahkan secara simbolik kepada Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) pada 21 September.
“SRC terus berdiri teguh bersama mereka yang terjejas, bekerjasama dengan ERC dan Gerakan Bulan Sabit Merah Palang Merah untuk menyampaikan bantuan menyelamatkan nyawa dan memulihkan maruah mereka di tengah-tengah kemusnahan.
“Menyelamatkan nyawa dan memulihkan maruah mesti menjadi keutamaan. Gerakan Bulan Sabit Merah Palang Merah mengulangi seruan mendesak menghentikan permusuhan untuk menamatkan penderitaan yang menjijikkan (yang dialami) orang awam,” kata SRC.
Pada 21 September, Presiden Tharman Shanmugaratnam, telah melawat ibu pejabat ERC semasa lawatannya ke Kahirah, Mesir dan menyaksikan penyerahan simbolik derma daripada SRC kepada ERC.
Encik Tharman merupakan ketua negara pertama yang melawat ERC, yang telah menyelaraskan bantuan kemanusiaan daripada pelbagai pertubuhan yang menyeberang dari Mesir ke Gaza sejak konflik memuncak.
Sehingga kini, SRC berkata ia telah menyumbang $1.9 juta dalam bentuk bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, melalui ERC dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Bantuan itu termasuk bekalan perubatan, kit kebersihan, bekalan makanan, sistem penapisan air, bungkusan makanan, dan operasi Hospital Medan Palang Merah.
Ia juga telah menyumbang $500,000 sebagai tambahan untuk operasi bantuan melalui rakan kongsi lain dalam Gerakan Bulan Sabit Merah Palang Merah, seperti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Di samping itu, ia turut mengerahkan penyelaras operasi dan sebuah pasukan seramai lapan orang untuk membantu ERC dengan operasi bantuan pada 2024.
“Selain itu, SRC menyokong unit pendidikan bergerak, di mana sebuah van akan diubah semula sebagai sebuah bilik darjah untuk menyediakan pendidikan tidak formal untuk kanak-kanak Palestin di Mesir.
“SRC juga menyumbang kepada inisiatif yang menyalurkan perkhidmatan perubatan, kesihatan mental dan kesihatan masyarakat kepada keluarga Palestin yang tinggal di Mesir,” kata SRC.
Sejak 7 Oktober 2023, kemusnahan dan bilangan nyawa yang terkorban di Gaza telah meningkat dengan lebih 67,000 rakyat Palestin terbunuh, dan ramai lagi cedera parah.
Di Gaza, SRC berkata Bulan Sabit Merah Palestin (PRC) telah menyediakan ambulans dan khidmat penjagaan kesihatan penting lain dalam keadaan yang sangat berbahaya bagi menjaga warga yang cedera dalam konflik itu.
Ia menambah, dengan jumlah sumber perubatan yang berkurangan di Gaza pada masa ini, PRC memberi tumpuan untuk menyediakan sokongan demi menyelamatkan nyawa orang awam yang terjejas.
“Kakitangan perubatan sedang bertugas dalam keadaan yang meruncing dengan bekalan dan peralatan yang terhad sedang mereka bergelut dengan bilangan yang semakin meningkat dalam kalangan warga yang cedera disebabkan senjata.
“Dengan permusuhan dan sekatan yang berterusan terhadap kemasukan bekalan dan peralatan bantuan kemanusiaan, keperluan penduduk awam kekal menjadi satu keutamaan besar,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg