Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Humanity Matters kumpul lebih $1.9j bagi mangsa konflik Gaza

Bentuk bantuan makanan, barangan kesihatan, peralatan kebersihan dan keperluan kanak-kanak
Oct 7, 2025 | 4:26 PM
Humanity Matters, kemanusiaan, Gaza
Humanity Matters berkata dana yang dikumpulkan dan bantuan yang diberikan sepanjang dua tahun kebelakangan ini menunjukkan kerelaan individu Singapura untuk tampil bagi tujuan kemanusiaan. - Foto fail

Badan bukan pemerintah (NGO) setempat, Humanity Matters (HM), telah mengumpulkan lebih $1.9 juta dalam bentuk bantuan bagi mangsa konflik di Gaza sejak Oktober 2023.

Menurut HM dalam satu kenyataan pada 6 Oktober, lebih separuh daripada bentuk bantuan terdiri daripada makanan dan barangan kesihatan, manakala selebihnya adalah peralatan kebersihan, keperluan psikososial bagi kanak-kanak serta kos pengendalian logistik.

Sejak memulakan usaha bantuan bagi mangsa konflik itu, ia telah selesai melaksanakan tujuh kerahan ke luar negara dan menghantar lebih 60 tan bantuan kemanusiaan, kata HM.

Badan itu menyatakan dana yang dikumpulkan dan bantuan yang diberikan sepanjang dua tahun kebelakangan ini menunjukkan kerelaan individu di Singapura untuk tampil bagi tujuan kemanusiaan.

Penasihat Khas (Kemanusiaan) HM, Encik Hassan Ahmad berkata:

“Konflik Israel-Hamas sangat rumit kerana ia melibatkan pelbagai dimensi dan dinamik.

“Apa yang telah disaksikan HM dalam usaha bantuan kemanusiaan kami sepanjang dua tahun kebelakangan ini ialah rakyat Singapura – tanpa mengira usia, bangsa, kepercayaan, kerjaya atau kewarganegaraan – tampil dan menawarkan diri secara sukarela (untuk membantu) satu sama lain.

“(Mereka) berkhidmat bagi tujuan kemanusiaan, sama ada melalui pengumpulan dana, pembungkusan bantuan atau sokongan logistik.”

Sebagai contoh, pada April dan November 2024, lebih 1,000 sukarelawan termasuk pekerja migran dari Bangladesh, Filipina dan Indonesia, turut serta bagi mengumpul dana bagi HM dan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk bantuan mangsa di Gaza.

Menurut Encik Hassan, semangat itu harus diteruskan agar Singapura menjadi “negara yang lebih matang dengan sifat prihatin, berbudaya dan bersatu” demi membina masyarakat penyayang dan mementingkan nasib golongan memerlukan.

Di samping bantuan dana daripada HM dan RLAF, Singapura bakal menghantar satu lagi pasukan perubatan ke Mesir untuk merawat pelarian Palestin di sana, sebagai sebahagian usaha berterusan menyediakan bantuan kemanusiaan kepada mangsa konflik Gaza.

Buat masa ini, satu pasukan doktor dan klinisian dari Singapura sedang berada di Kahirah untuk menyokong Institusi Nasser, dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) telah mengerahkan dua pegawai ke sana untuk menyelaras bantuan dari Singapura.

Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata di Parlimen pada 22 September bahawa Singapura juga akan menghantar alat prostetik atau anggota badan palsu untuk sekitar 100 rakyat Palestin yang hilang anggota badan dan sedang dirawat di Jordan atau hospital sementara di Gaza.

Ini di samping sumbangan AS$500,000 ($646,000) di bawah usaha Program Makanan Sedunia untuk meredakan keadaan hampir kebuluran di Gaza.

Bersama sumbangan sekitar $1.2 juta oleh Palang Merah Singapura, pakej bantuan ke-10 itu menjadikan jumlah bantuan kemanusiaan keseluruhan Singapura untuk Gaza melebihi $24 juta, ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg