Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantuan kemanusiaan S’pura tiba di Nepal
Pakej bernilai sekitar $560,000 termasuk bekalan perubatan, kit DNA dan peralatan perlindungan diri
Bantuan kemanusiaan S’pura tiba di Nepal
Bantuan kemanusiaan Singapura tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu, pada 8 pagi, 10 September (10.15 pagi waktu Singapura), bagi menyokong usaha bantuan Nepal buat ribuan mangsa yang terjejas akibat banjir kilat dahsyat pada 26 Ogos.
Pakej bantuan kemanusiaan yang bernilai kira-kira $560,000 itu merangkumi bekalan kecemasan seperti bekalan perubatan, kit ujian asid ‘deoxyribonucleic’ (DNA) dan peralatan perlindungan diri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Nepal, Encik Mahabir Pun, hadir di lapangan terbang untuk menerima bantuan kemanusiaan itu.
Sejauh ini, hampir 1,400 orang maut dan lebih 5,000 lagi hilang selepas sebahagian besar glasier runtuh di sempadan Nepal-China.
Ia menghasilkan arus deras lumpur, batu dan runtuhan yang menghanyutkan perkampungan di sepanjang Sungai Bhote Koshi dan Trishuli sejauh 100 kilometer ke hilir.
Pasukan Tindak Balas Krisis Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura telah berada di Nepal sejak 27 Ogos, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengesan sembilan rakyat Singapura yang hilang.
Pada 4 September, Pasukan Polis Singapura (SPF), dengan sokongan Agensi Sains dan Teknologi Home Team dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA), menghantar pegawai yang pakar dalam pengenalpastian mangsa bencana serta pengawasan udara untuk membantu pihak berkuasa Nepal.
Ratusan mayat telah ditemui terbawa arus jauh dari daerah asal mereka.
Pemerintah Nepal sedang berusaha mengebumikan mereka secara sementara di lokasi yang ditanda, selepas mengambil DNA bagi tujuan pengenalpastian.
Pihak polis dan makmal forensik Nepal turut mengumpul DNA daripada saudara-mara ribuan individu yang hilang, bagi memadankan mereka dengan mangsa yang ditemui.
Analisis DNA itu dijalankan dengan sokongan pasukan forensik dari China, India, Korea Selatan dan Singapura.
Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Eugene Wang, komander pasukan Mengenal pasti Mangsa Bencana (DVI) SPF di Nepal, memberitahu The Straits Times (ST):
“Kami berada di sini untuk membantu dalam usaha bersama mengenal pasti mangsa, supaya kami dapat membawa keredaan dan kelegaan kepada keluarga mereka.”
Beliau berkata misi pasukannya adalah untuk membantu mengenal pasti mangsa dari semua negara, bukan hanya warga Singapura.
Pakej bantuan kemanusiaan yang tiba pada 10 September itu turut merangkumi peralatan khusus untuk menyokong usaha carian, pemulihan dan pengenalpastian mangsa bencana yang sedang dijalankan.
Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, dalam satu kenyataan berkata: “Pakej bantuan kemanusiaan yang kami serahkan hari ini adalah bukti hubungan erat antara kededua negara.
“Kami berharap sumbangan kecil kami ini dapat menyokong semua individu berani yang berkhidmat di lapangan, serta membawa keselesaan dan kelegaan kepada rakyat yang terjejas akibat tragedi ini.
“Kami sedia memberikan sokongan lanjut selaras dengan keperluan Nepal.”
