Bantuan kewangan dan sokongan menyeluruh MKAC ringankan beban pesakit ginjal
Bantuan kewangan dan sokongan menyeluruh MKAC ringankan beban pesakit ginjal
Membantu insan yang diuji dengan penyakit kronik adalah amalan mulia. Apatah lagi jika bantuan itu dapat meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga.
Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC) ialah antara agensi sosial yang membantu pesakit ginjal masyarakat Islam serta keluarga mereka.
Presiden Kehormat MKAC, Encik Ameerali Abdeali, berkata: “Kami telah merangka pelbagai program yang melengkapkan pesakit ginjal dengan alat, kemahiran dan peluang bagi mengatasi cabaran semasa.
“Ia bertujuan agar mereka lebih berdikari, mampu menyara diri sendiri, dan meneruskan kehidupan dengan harga diri.”
Antara program yang dikelolakan MKAC termasuk kumpulan sokongan, sokongan kesihatan mental, bantuan kewangan, kegiatan fizikal, sokongan keluarga dan penjaga, serta pemerkasaan pesakit ginjal.
Program Prihatin dan Ihsan MKAC bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup benefisiari melalui penyaluran bantuan kewangan bulanan dan bantuan secara langsung.
Sumbangan tersebut merupakan sokongan penting kepada pesakit ginjal dan juga penjaga mereka.
Selain itu, terdapat Program Befrienders, satu daya usaha MKAC melawat dan menyediakan sokongan emosi, sosial dan praktikal kepada individu di rumah dan hospital.
Ia berkhidmat secara langsung kepada pesakit ginjal dan keluarga mereka. Lawatan ini dikhususkan bagi mereka yang kurang upaya bergerak, atau pergerakannya terhad di rumah, di hospital atau di pusat jagaan.
Untuk Program Pendidikan dan Pengayaan pula, MKAC menganjurkan kelas serta bengkel yang menarik dan interaktif.
Ia direka untuk melengkapkan pesakit ginjal dengan kemahiran dan pengetahuan berharga bagi meningkatkan mutu hidup.
Antaranya kelas menjahit, menyulam beg, membuat kek, memasak, kelas agama dan kaunseling, terapi seni dan kelas pergerakan.
Untuk menggembirakan hati pesakit ginjal dan keluarga, lawatan pembelajaran turut dianjurkan.
Mereka dibawa ke Night Safari, Zoo, River Safari dan sebagainya. Sesi-sesi ini memupuk masyarakat yang saling menyokong.
Pesakit dapat membina keyakinan diri, menjalin hubungan yang bermakna, serta menemukan kembali rasa kegembiraan dalam kehidupan.
MKAC turut mengadakan Program Penglibatan Komuniti. Ini bertujuan memupuk hubungan baik dengan pertubuhan luar, rakan kerjasama, pihak berkepentingan dan pelawat dari seluruh dunia.
Sumbangan boleh disalurkan melalui:
1. PayNow/Paylah: UEN No. T04SS0068D. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 029 – 901280 – 0.
2. Cek atas nama ‘Muslim Kidney Action Association’ dan hantarkan ke alamat 122 Telok Kurau Road, Singapore 423806.
3. Untuk derma wang tunai, kunjungi pejabat MKAC. Lungsuri laman https://www.mkac.sg/ untuk maklumat lanjut.

