Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan kewangan inisiatif Club-100@North West ringankan beban ibu tunggal 4 anak

Feb 13, 2025 | 8:24 PM
Dalam mengharungi perasaan segannya untuk meminta bantuan dahulu, Cik Nurul Aqilah Mohd Ishak berkongsi bahawa beliau akhirnya memilih untuk memberanikan diri demi masa depan anak-anaknya. Beliau antara 170,000 benefisiari inisiatif masyarakat Club-100@ North West yang kini disokong lebih daripada 700 penderma sejak penubuhannya pada 2008.
Dalam mengharungi perasaan segannya untuk meminta bantuan dahulu, Cik Nurul Aqilah Mohd Ishak berkongsi bahawa beliau akhirnya memilih untuk memberanikan diri demi masa depan anak-anaknya. Beliau antara 170,000 benefisiari inisiatif masyarakat Club-100@ North West yang kini disokong lebih daripada 700 penderma sejak penubuhannya pada 2008. - Foto BH oleh KHALID BABA

Bagi Cik Nurul Aqilah Mohd Ishak, menggalas peranan sebagai ibu tunggal empat anak, berusia antara dua hingga 16 tahun, bukanlah satu tugas yang mudah.

Malah, sebagai pencari nafkah tunggal, wanita berusia 37 tahun itu harus mengimbangi pekerjaan dan urusan penjagaan anak di samping mengurus masalah kewangan yang dihadapinya.

Beliau enggan memberi butiran lanjut tentang suaminya.

Sejak 2023, beliau mengendalikan perniagaan dari rumah (HBB) di rumah sewa satu biliknya di Canberra, menjual pelbagai barangan kanak-kanak seperti mainan, patung mainan lembut, alat tulis, pakaian dan aksesori.

Ini termasuk memanfaatkan platform media sosial seperti Facebook untuk memasarkan produknya dan turut melakukan penjualan secara siaran langsung dalam talian pada waktu malam.

“Saya biasanya menjalankan perniagaan saya pada waktu malam kerana semua anak saya sudah berada di rumah dan anak yang lebih tua boleh menjaga adik mereka.

“Sekiranya saya terpaksa membuka reruai (di luar), saya akan bawa anak-anak bersama supaya mereka sentiasa berada di sisi saya.

“Saya tidak mahu mereka berada di rumah tanpa pengawasan kerana mereka masih kecil lagi,” kongsi Cik Aqilah kepada Berita Harian (BH), yang turut memberitahu bahawa beliau meraih sejumlah $300 sebulan secara purata daripada hasil jualannya itu.

Meskipun menerima pelbagai sokongan seperti bantuan ComCare dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Aqilah masih menghadapi tekanan kewangan yang berterusan.

Pada Oktober 2024, beliau mendapat bantuan sebanyak $500 daripada Skim Bantuan Kewangan Sementara (Ifas) yang diperkenalkan seorang ahli akar umbi Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, yang membantunya mendaftar untuk skim tersebut.

“Pada waktu itu, saya benar-benar kesulitan. Sambil saya bergelut dengan perniagaan yang naik turun, saya hanya tinggal dengan lima keping lampin dan susu bayi pun tinggal sedikit.

“Apabila saya mendapatkan bantuan ini, saya segera membeli barangan dapur untuk anak-anak, termasuk susu dan lampin (untuk si kecil) dan saya rasa amat bersyukur,” ujar Cik Aqilah, yang menambah bahawa wang baki yang ada digunakan untuk keperluan lain dan diketepikan sedikit untuk anak-anak.

Cik Aqilah adalah antara 170,000 benefisiari yang telah meraih manfaat daripada inisiatif masyarakat yang dikenali sebagai Club-100@North West, sejak penubuhannya pada 2008.

Inisiatif masyarakat ini dibentuk untuk membina budaya memberi kembali kepada masyarakat menerusi bantuan kewangan kepada yang memerlukan, antaranya skim Ifas seperti yang diterima Cik Aqilah dan Tabung Bantuan Kecemasan CDC North West.

Semasa Majlis Makan Malam Penghargaan Club-100@North West yang diadakan di Galeri Nasional Singapura pada malam 13 Februari, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang turut hadir untuk majlis makan malam tersebut, mengulas mengenai pentingnya sokongan masyarakat dalam “memupuk keprihatinan dan kemaslahatan penduduk yang tinggal di kawasan yang sama”.

“Semangat bersedekah penting dalam masyarakat kita dan dengan adanya Club-100@North West, ia memberi ruang bagi kita untuk bersedekah dan menolong mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa, agama, atau latar belakang.

“Saya berharap lebih ramai orang Melayu/Islam dapat bersama-sama kami untuk menolong mereka yang memerlukan dengan menderma sekurang-kurangnya $100 kepada dana ini, supaya kita boleh meningkatkan lagi bilangan mereka yang boleh meraih manfaatnya,” kata Encik Faishal yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan menerusi inisiatif ini, anda boleh layari laman web www.go.gov.sg/nwc100 untuk butiran lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg