Parti-parti politik yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu dan membuat tuduhan mengenai pekerja pembersihan migran di GRC Nee Soon yang terpaksa menyogok pengurus mereka melakukannya tanpa benar-benar memahami apa yang berlaku, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam, pada 1 Februari.
Ketika ditemui wartawan semasa pembukaan pejabat baru yang dinaik taraf di Majlis Bandaran Nee Soon, Encik Shanmugam, berkata adalah “adil dan wajar” bagi rakyat Singapura, termasuk parti politik, untuk mengajukan soalan mengenai kejadian tersebut.
Beliau membela dan menekankan tindakan pantas pemerintah dalam menangani kes tersebut, sambil menyatakan bahawa Kementerian Tenaga Kerja (MOM) telah mengerahkan 20 pegawai penyiasat dan menemu bual lebih 30 pekerja dalam usaha mendapatkan kembali duit sogokan tersebut.
Sebagai respons terhadap kenyataan parti politik mengenai isu ini, Encik Shanmugam menekankan pentingnya memahami fakta sepenuhnya sebelum membuat tuduhan di khalayak ramai.
Beliau menjelaskan bahawa isu ini didedahkan melalui sistem ‘whistleblowing’ (proses pengaduan dalaman) dan Anggota Parlimen (AP) adalah yang pertama untuk memaklumkan MOM dan majlis bandaran mengenai dakwaan sogokan itu.
“Ia adalah melalui sistem ‘whistleblowing’ bahawa kami mengetahui perkara ini. Kami, sebagai Anggota Parlimen, segera memaklumkan MOM, memberitahu mereka bahawa perkara ini serius dan perlu disiasat secara menyeluruh.
“Sistem ini berkesan, dan kami gembira pekerja-pekerja tersebut menerima gaji penuh mereka sebaik sahaja siasatan dimulakan,” ujar Encik Shanmugam.
Kes ini, yang melibatkan bekas pengurus operasi, Derrick Ho Chiak Hock, membawa kepada hukuman penjara 24 minggu terhadap Ho selepas dia didapati memperolehi lebih $396,000 dalam bentuk sogokan daripada pekerja migran.
“Kami bertindak dengan tegas, dan perkara yang penting di sini adalah keadilan. Yang lebih utama juga adalah pekerja dilindungi sepanjang siasatan,” tegas Encik Shanmugam.
Bagaimanapun, beliau meluahkan kebimbangan mengenai isu yang telah dipolitikkan ini.
“Malangnya apabila ada yang terburu-buru untuk mempolitikkan isu ini dan membuat kesimpulan tanpa memahami fakta sebenar, ini akan memutarbelitkan situasi sebenar,” katanya.
Encik Shanmugam menjelaskan bahawa kesalahan ini hanya melibatkan seorang individu sahaja. Turut menjawab persoalan mengenai mengapa kontraktor terus bekerjasama dengan majlis bandaran, beliau menjawab:
“Kita perlu mengelakkan daripada menghukum semua orang hanya kerana tindakan seorang individu. Syarikat itu telah membuat penambahbaikan, dan kita mesti bertindak apabila kejadian seperti ini berlaku.
“Siasatan menunjukkan ini adalah kesalahan seorang individu. Syarikat itu kini telah diambil alih dan melaksanakan SOP yang ketat. Kita perlu menyeimbangkan tindak balas ini, kerana ada yang tidak bersalah yang bergantung kepada pekerjaan mereka di syarikat ini,” jelasnya.
Antara lain, beliau juga menekankan kepentingan integriti ahli parlimen: “Ahli Parlimen mesti sentiasa bertindak dengan jujur, melakukan perkara yang betul, dan tidak menyembunyikan kesalahan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg