Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masjid sertai gerakan hijau

Feb 9, 2025 | 5:30 AM
Beberapa masjid daerah timur bergilir mengadakan usaha mengumpul barang yang boleh dikitar semula seperti pakaian, buku dan periuk di bawah usaha East Go Green (Timur Jadi Hijau). Masjid Al-Mawaddah di Sengkang berjaya mengumpul lima tan barang daripada inisiatif kitar semula itu yang diadakan pada 1 Februari.
Beberapa masjid daerah timur bergilir mengadakan usaha mengumpul barang yang boleh dikitar semula seperti pakaian, buku dan periuk di bawah usaha East Go Green (Timur Jadi Hijau). Masjid Al-Mawaddah di Sengkang berjaya mengumpul lima tan barang daripada inisiatif kitar semula itu yang diadakan pada 1 Februari. - Foto BM oleh KHALID BABA

Lebih banyak masjid di serata Singapura kini mempunyai inisiatif hijau atau mesra alam, sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030, satu gerakan yang mendorong pembangunan mampan di seluruh negara.

Tinjauan Berita Minggu mendapati inisiatif hijau itu termasuk usaha mengumpul dan mengitar semula barang seperti pakaian, buku dan periuk, mengurangkan pembaziran air dan makanan serta menggalak penggunaan perkakas makan dan minum yang boleh reput atau boleh diguna semula.

Di timur Singapura misalnya, beberapa masjid bergilir mengadakan usaha mengumpul barang yang boleh dikitar semula seperti pakaian, buku dan periuk logam di bawah usaha ‘East Go Green’ (Timur Jadi Hijau).

Khidmat mencarik buku agama dan kitab Al-Quran lama juga ditawarkan pada harga sekitar $5 sekilo.

Menurut eksekutif pembangunan sosial masjid daerah timur, Cik Nur Syafiiqah Musa, usaha kitar semula telah dianjurkan sejak 2023 melibatkan tiga masjid, namun diperluas pada tahun berikutnya kepada tujuh masjid – hampir separuh jumlah 18 masjid di daerah itu.

Beberapa masjid tidak dapat menganjurkan usaha itu disebabkan ruang terhad.

Selain diperluas, penganjuran usaha itu juga dilakukan dengan lebih baik bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat ditawarkan secara berterusan kepada jemaah, iaitu sekurang-kurangnya tiga usaha kitar semula setiap suku tahun.

Sementara itu, tujuh daripada 19 masjid di daerah selatan Singapura menempatkan tong kitar semula fabrik Kloth Cares, inisiatif yang bermula di Malaysia.

Kerjasama itu bermula pada 2023 sebagai antara inisiatif hijau masjid daerah selatan dalam bulan Ramadan.

Disebabkan sambutan baik, bilangan tong ditambah daripada enam kepada sembilan, termasuk dua di luar daerah selatan.

Sejumlah 135,357.3 kilogram tekstil bersamaan 812,142 kemeja-T telah dikumpul dalam tempoh hampir dua tahun itu.

Beberapa masjid lain di daerah selatan juga mempunyai inisiatif menggalak jemaah menjimat penggunaan air seperti Masjid Mujahidin di Stirling Road yang telah memperkenalkan daya usaha itu sejak 2016.

Sementara itu, masjid di daerah barat Singapura mempunyai inisiatif yang membolehkan orang ramai mendermakan lebihan makanan dalam tin atau makanan kering yang belum luput.

Bermula dengan satu masjid menyediakan pantri masyarakat itu pada 2019, daya usaha tersebut kini telah berkembang ke enam masjid.

Beberapa masjid juga menggalak jemaah membawa botol air sendiri, satu usaha yang dimulakan sekitar 2018.

Ramadan ini, masjid di daerah utara mahu mengurangkan pembaziran makanan sahur dan berbuka puasa dengan menyediakan makanan bungkus dengan bahagian hidangan lebih kecil.

Beberapa masjid telah mula menggunakan perkakas makan dan minum yang boleh reput dan kurang menggunakan styrofoam.

Banyak masjid di daerah selatan juga menyediakan balang air sejuk atau panas untuk mengurangkan pengagihan air minuman dalam botol plastik sekali pakai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg