Keadaan hidup berkeluarga di Singapura semakin mencabar di tengah-tengah kos sara hidup yang semakin meningkat, mentelah dengan anak-anak yang masih bersekolah.
Bagaimanapun, cabaran itu diberi perhatian oleh pemerintah, yang berusaha meringankan beban yang dihadapi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana melalui beberapa sokongan, seperti bantuan Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GSTV).
Antara yang akan mendapat bantuan itu ialah keluarga Encik Hisham Hashim, 53 tahun, dan isterinya, Cik Nur Fasehah Ahmad, 42 tahun.
Mereka mempunyai tiga anak – dua lelaki berusia 14 dan empat tahun serta seorang perempuan berusia 12 tahun – dan tinggal di flat empat bilik di Fajar Road bersama ibu Cik Fasehah, Cik Norsiah Ab Rahman, 77 tahun.
Keluarga itu adalah antara isi rumah yang akan menerima sokongan GSTV – Tunai dan GSTV – MediSave (akan mula diberi pada Ogos); GSTV – U-Save dan GSTV – Rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) (akan diberi pada Julai); dan Baucar CDC (sudah diberi pada Jun).
Menurut Cik Fasehah, mereka berdepan cabaran dalam menyediakan keperluan rumah dan membesarkan anak-anak memandangkan hanya Encik Hisham yang bekerja, membawa pulang gaji antara $2,500 dengan $3,500 sebulan selepas dipotong caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF).
Namun, GSTV yang akan diterima keluarga itu akan memudahkan mereka menampung perbelanjaan keperluan rumah, anak-anak dan ibunya.
“Saya bersyukur dan gembira dengan rezeki yang diberikan.
“Dengan sokongan ini, dapatlah kami bayar bil yang tertunggak, beli barang pasar dan keperluan anak seperti lampin dan kad EZ-Link,” ujar Cik Fasehah.
Keluarga beliau akan menerima GSTV – Tunai sebanyak $850 dan GSTV – U-Save sebanyak $225 serta rebat GSTV – S&CC setengah bulan.
Cik Fasehah berkata sokongan wang tunai sebanyak $850 itu, yang bertujuan membantu keluarga bergaji kecil dalam hal keperluan mereka, dapat meringankan beban keluarganya, terutama bagi keperluan lebih mahal, seperti lampin dan susu anak.
Bantuan GSTV – U-Save pula akan memberi keluarganya rebat untuk menampung bil elektrik dan air pada Januari, April, Julai dan Oktober.
“Bantuan ini dapat mengurangkan tekanan yang kami hadapi kerana kami dapat terus melunaskan bil yang tertunggak.
“Hanya suami saya yang bekerja, dan dengan ibu saya semakin uzur, saya tidak dapat keluar bekerja untuk bantu suami saya,” kata Cik Fasehah, yang sudah menjadi suri rumah lebih 10 tahun.
Encik Hisham bekerja sebagai penyelia operasi di PSA.
Menurut Cik Fasehah, mereka harus berjimat cermat untuk menampung perbelanjaan mereka enam beranak.
Beliau, umpamanya, cuba memasak lauk yang dapat bertahan beberapa hari supaya mereka dapat berjimat, di samping mengurangkan memakan makanan lebih mahal, seperti ikan dan daging.
Sementara itu, Cik Norsiah akan menerima tokokan GSTV – MediSave sebanyak $350 daripada pemerintah.
Cik Fasehah berkata tokokan itu akan membantu dalam membayar perubatan ibunya, yang mengalami kencing manis, masalah ginjal kronik dan kolesterol tinggi.
GSTV – Tunai dan GSTV MediSave sebahagian daripada skim GSTV, yang membantu menampung perbelanjaan GST secara kekal untuk rakyat Singapura berpendapatan rendah hingga sederhana, sedang mereka menghadapi kenaikan GST sejak dua tahun lalu.
Pada 4 Julai, Kementerian Kewangan (MOF) mengatakan sekitar 1.5 juta warga Singapura yang layak akan menerima GSTV-Tunai sebanyak $450 atau $850 pada Ogos.
Mereka harus berusia 21 tahun ke atas pada 2024 dan mempunyai pendapatan taksiran hingga $34,000 dalam tahun taksiran 2023.
Mereka yang tinggal di rumah yang mempunyai nilai tahunan hingga $21,000 akan mendapat $850, manakala mereka yang tinggal di rumah yang mempunyai nilai tahunan lebih $21,000, dan hingga $25,000, akan menerima $450.
MOF juga mengatakan kira-kira 650,000 warga Singapura berumur 65 tahun dan ke atas akan menerima GSTV – MediSave hingga $450, bagi menyokong keperluan perubatan mereka.
Ia akan dimasukkan ke dalam Akaun MediSave CPF mereka pada Ogos.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg