Topik diikuti
Pergi ke BHkuBantuan TAA 2026: Permohonan beralih dalam talian menerusi E-SEPADU
Kempen Dana Amal Sinaran Hati Tabung Amal Aidilfitri (TAA) akan dilancarkan semasa CelebFest 2026, pada Sabtu, 22 Ogos.
Ia menyasarkan kutipan $350,000 untuk dikumpulkan seiring dana kutipan sepanjang tahun.
Dana yang dikumpulkan TAA melalui kempen Dana Amal Sinaran Hati 2026 akan disalurkan 100 peratus kepada bantuan kewangan kepada lebih 3,500 keluarga berpendapatan rendah di Singapura.
Ia termasuk mereka yang kurang upaya dan penghidap penyakit kronik seperti barah, kencing manis dan sakit jantung.
Buat julung-julung kalinya mulai 2026, permohonan bantuan kewangan TAA beralih sepenuhnya secara dalam talian di E-SEPADU menerusi laman web, sepadu.sg.
Ketua Jawatan Kuasa Eksekutif TAA, Encik Farihullah Safiullah, berkata:
“Sistem E-SEPADU menyediakan penyelesaian sehenti yang terjamin.
“Dengan menggunakan borang permohonan E-SEPADU di portal sepadu.sg, keluarga dan individu yang layak, berpotensi menerima bantuan sosial dan kewangan daripada sekurang-kurangnya satu daripada lima badan terlibat iaitu Tabung Amal Aidifiltri (TAA), Pertapis, Persatuan Bertindak Ginjal Bagi Masyarakat Islam (MKAC), Persekutuan India Muslim (FIM), dan Persatuan India Muslim Bersatu (Uima).”
Permohonan E-SEPADU akan dibuka kepada warga emas berumur lebih 65 tahun mulai 7 September 2026 dan terbuka kepada semua peringkat usia dari 5 Oktober 2026 hingga akhir November 2026.
Selain portal sepadu.sg, pemohon juga boleh memohon secara digital melalui kios E-SEPADU yang diperkenalkan TAA melalui video pratonton ringkas semasa acara tersebut.
Kios itu dilengkapi dengan rangkaian selamat, papan kekunci dan pengimbas yang akan memudahkan proses permohonan agar ia lancar dan pantas untuk pemohon.
Ia juga akan dikendalikan oleh sukarelawan dan kakitangan TAA untuk membantu mereka yang tidak mahir dalam teknologi.
Pengurus Besar TAA, Cik Huda Aljunied, berkata:
“Ini tahun pertama kami menggunakan permohonan melalui dalam talian sepenuhnya.
“Tahun lepas (2025), ia masih versi hibrid dengan pemohon berumur 55 tahun ke atas menghantar permohonan melalui borang kertas serta menyerahkan salinan fizikal dokumen sokongan mereka.”
Tambahnya: “Tahun ini (2026) kakitangan terlatih kami, dengan persetujuan pemohon yang telah direkod dalam sistem pada tahun lalu, akan mengemas kini borang permohonan bagi pemohon warga emas dan menghantar borang E-SEPADU bagi pihak mereka.
“Kios E-SEPADU akan disediakan pada hari-hari tertentu dalam tempoh permohonan di tempat-tempat terdapat penumpuan tinggi pemohon kami.”
Pelancaran Kempen Amal Sinaran Hati TAA 2026 akan diadakan di Dewan 403 dan 404, Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec dan disiarkan secara langsung menerusi YouTube TAA di laman web, www.youtube.com/taatrustfundsg, dari 12 tengah hari hingga 2 petang.
Ia akan diwarnai oleh deejay popular A.B. Shaik Banafe, dan persembahan Istimewa oleh penyanyi, Art Fazil.
Untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik di Singapura, anda boleh menyumbang kepada Kempen Amal Sinaran Hati TAA melalui:
1. Portal rasmi www.TAA.sg.
2. PayNow ke UEN T06CC1974E (nyatakan nombor NRIC/FIN/UEN di ruang ‘Reference No #39; bagi derma melebihi $50).
3. Pemindahan Bank: Akaun nombor bank DBS: 0270151272 (Akaun Semasa).
4. Resit: Untuk resit, sila e-mel gambar pengesahan derma PayNow atau Pemindahan Bank ke info@taa.org.sg.
