Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bantuan tambahan bagi pembeli rumah kali pertama Comlink+

Mereka boleh membeli flat Standard 2 atau 3 bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat
Mar 5, 2025 | 3:01 PM
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Skim Perumahan Permulaan Baru akan diperluaskan kepada keluarga pembeli pertama ComLink+ yang tinggal di flat sewa, membolehkan mereka membeli flat Standard 2 atau 3 bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata Skim Perumahan Permulaan Baru akan diperluaskan kepada keluarga pembeli pertama ComLink+ yang tinggal di flat sewa, membolehkan mereka membeli flat Standard 2 atau 3 bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat. - Foto MDDI

Skim Perumahan Permulaan Baru akan diperluaskan kepada keluarga pembeli pertama ComLink+ yang tinggal di flat sewa, membolehkan mereka membeli flat Standard dua atau tiga bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Bercakap semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Parlimen pada 5 Mac, Dr Faishal menambah bahawa pada masa ini, Skim Perumahan Permulaan Baru menyediakan sokongan menyeluruh untuk membantu keluarga pembeli kali kedua dengan anak yang tinggal di flat sewa awam untuk menjadi pemilik rumah.

“Sehingga kini, 85 keluarga telah berpindah ke flat mereka melalui sokongan daripada Skim Perumahan Permulaan Baru. 28 keluarga lagi telah menempah flat mereka dan sedang menunggu kunci. 

“Kami akan meningkatkan Skim Perumahan Permulaan Baru untuk menyokong lebih ramai keluarga ComLink+ dalam perjalanan memiliki rumah mereka sendiri,” kata Dr Faishal.

Menurutnya, keluarga tersebut akan terus menerima manfaat daripada Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG), yang bernilai sehingga $120,000, sebagai ganti kepada Geran Perumahan Permulaan Baru.

Keluarga pembeli kali pertama yang layak boleh memohon untuk skim tersebut mulai April dan mereka yang ditempatkan dalam skim itu boleh membuat permohonan untuk flat pada pelaksanaan jualan flat pertama pada 2026.

“Untuk memberi manfaat kepada lebih banyak keluarga, skim ini akan diperluaskan bagi membenarkan keluarga pembeli kali pertama yang layak, dengan anak-anak yang tinggal di flat sewa awam untuk membeli Flexi dua bilik atau Standard tiga bilik dengan tempoh pajakan yang lebih pendek, yang akan lebih mampu dimiliki berbanding dengan pajakan selama 99 tahun.

“Selain itu, kerana mereka adalah keluarga pembeli kali pertama yang tidak pernah menerima subsidi perumahan sebelum ini, keluarga-keluarga ini layak menerima EHG sehingga $120,000.

“Oleh itu, mereka tidak akan menerima Geran Perumahan Permulaan Baru sebanyak $75,000 yang dikhaskan untuk keluarga pembeli kali kedua,” kata MND dan HDB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Mac.

Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawan 2025, Skim Perumahan Permulaan Baru juga akan dipertingkatkan dengan meningkatkan Geran Perumahan Permulaan Baru untuk keluarga pembeli kali kedua ComLink+ yang menetap di rumah sewa awam.

Geran itu akan dinaikkan daripada $50,000 kepada $75,000 mulai pelaksanaan jualan flat 2025.

Selain itu, hampir 5,000 flat sewa awam lagi akan dibina menjelang 2030 untuk mengurangkan masa menunggu, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan dalam Skim Sewa Awam, ujar Dr Faishal.

“Semasa Covid-19, permohonan untuk flat sewa meningkat dan masa menunggu meningkat hingga 11 bulan.

“Sejak itu, HDB telah memperkemas proses pemilihan flat dan mengurangkan masa menunggu kepada purata lima bulan.

“Kami sedang berusaha untuk mengurangkan masa menunggu lebih lanjut.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami, kami akan membina hampir 5,000 flat sewa awam menjelang 2030,” kata Dr Faishal.

Untuk menggalakkan percampuran sosial, pemerintah juga telah membina flat untuk disewa dan flat untuk dijual dalam blok yang sama, tambah beliau.

HDB telah membina enam blok seperti itu dan akan membina 28 blok dalam lima tahun akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg