Sokongan kewangan bagi keluarga besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah berita baik bagi mereka yang mempunyai tiga anak atau lebih, bagaimanapun, tidak pasti apakah insentif tersebut akan mendorong pasangan untuk mempunyai lebih ramai anak.
Ini kerana keluarga juga perlu mempertimbangkan beberapa faktor lain, seperti kos sara hidup dan penjagaan anak-anak, kata zamil penyelidikan kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya, dan pengerusi M³@Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan, yang tampil dalam podcast Berita Harian (BH) untuk membincangkan tentang Belanjawan 2025.
“Sama ada ia akan menggalak (keluarga mempunyai lebih ramai anak), memang susah kita nak katakan. Tetapi pastinya, jika kita lihat pada Belanjawan 2025, (sokongan itu) akan membantu keluarga muda jika mereka fikir nak mulakan keluarga,” kata Encik Azuan.
“Tetapi sama ada ia akan menggalak (lebih ramai mempunyai lebih ramai anak)... ada faktor-faktor lain yang perlu difikirkan dan memang kos adalah satu faktor,” tambah beliau.
Belanjawan 2025, yang dibentangkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 18 Februari, mengumumkan beberapa sokongan kewangan buat keluarga dengan anak-anak, termasuk mereka yang mempunyai tiga anak atau lebih.
Ini termasuk Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) sebanyak $1,000 setahun bagi setiap anak ketiga dan seterusnya pada tahun-tahun anak-anak itu berumur antara satu hingga enam tahun, yang boleh digunakan untuk membiayai pelbagai perbelanjaan isi rumah seperti barangan runcit, kos pengangkutan dan bil api air.
Antara lain, Geran MediSave Keluarga Besar (LFMG) baru, bernilai $5,000 pula, akan dimasukkan ke akaun MediSave si ibu bagi setiap anak ketiga dan seterusnya yang dilahirkan pada atau selepas 18 Februari 2025.
Ia boleh digunakan untuk perbelanjaan sepanjang kehamilan serta kelahiran anak, serta bagi bil perubatan atau hospital tanggungan yang diluluskan.
Meskipun sokongan yang disediakan itu akan membantu meringankan beban kewangan keluarga besar, Dr Faizal berkata terdapat banyak keluarga yang bimbang memikirkan tentang soal penjagaan anak-anak jika mereka ingin menambah zuriat.
Justeru, beliau menyarankan agar lebih banyak sokongan dapat disediakan dalam aspek penjagaan bayi dan kanak-kanak untuk membantu ibu bapa.
“Kebanyakan pasangan tidak tinggal sebumbung dengan ibu bapa mereka, dan mereka mendapatkan pembantu rumah untuk membantu menjaga anak-anak.
“Oleh itu, saya fikir penting untuk mempunyai sokongan penjagaan anak-anak juga,” kata beliau.
Adanya sokongan penjagaan anak-anak juga akan membantu golongan isteri untuk kembali bekerja selepas cuti bersalin dengan fikiran tenang, tambah Dr Faizal, sekali gus dapat membantu dalam ekonomi keluarga dengan dua saluran pendapatan.
Dengan tenaga kerja Singapura yang semakin menua, Dr Faizal turut berkata sumbangan golongan wanita dalam ekonomi negara adalah penting.
Sependapat, Encik Azuan berkata satu lagi keprihatinan yang mungkin dihadapi golongan wanita adalah mereka perlu mengorbankan kerjaya jika mahu menambah zuriat dan seterusnya membesarkan anak-anak.
“Skim yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 akan dapat membantu mereka, namun jika ada jaminan juga bahawa mereka boleh kembali membina kerjaya (selepas bersalin), pastinya ia akan lebih membantu mereka,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg