Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga flat sewa yang layak boleh dapat geran $75,000 beli BTO

Feb 19, 2025 | 2:34 PM
Keluarga yang layak yang menetap di flat sewa kini boleh memanfaatkan geran lebih tinggi untuk beli rumah sendiri.
Keluarga yang layak yang menetap di flat sewa kini boleh memanfaatkan geran lebih tinggi untuk beli rumah sendiri. - Foto fail

Keluarga dengan anak yang tinggal di flat sewa akan menerima geran lebih tinggi apabila mereka membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dua bilik flexi atau tiga bilik.

Sementara itu, keluarga yang layak dan merupakan pembeli rumah kali pertama akan dibenarkan membeli flat dengan pajakan lebih pendek.

Langkah itu bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah dan rentan yang menghadapi lebih banyak cabaran, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawannya pada 18 Februari.

Di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkatkan, keluarga yang layak dan merupakan pembeli rumah kali kedua akan mendapat geran $75,000 untuk membeli flat dua bilik flexi atau tiga bilik Standard dengan pajakan lebih singkat.

Ini meningkat daripada geran semasa sebanyak $50,000, lapor The Straits Times.

Flat Standard ditawarkan di estet seperti Woodlands, Yishun, Bukit Batok dan Sengkang dalam pelancaran flat awam baru-baru ini.

Flat sedemikian membentuk sebahagian besar bekalan perumahan akan datang dengan tempoh penginapan minimum (MOP) selama lima tahun, tanpa sekatan lain apabila dijual semula.

Skim Perumahan Permulaan Baru dilancarkan pada 2016 untuk membantu keluarga dengan sekurang-kurangnya seorang anak di bawah usia 18 tahun dan telah membeli flat HDB yang disubsidi sebelum ini.

Untuk menjadikan flat awam lebih mampu dimiliki, flat flexi dua bilik dan tiga bilik ditawarkan dengan pajakan 45 hingga 65 tahun – dengan kenaikan tempoh pajakan lima tahun – selagi pajakan itu boleh menampung pemohon termuda sehingga umur 95 tahun.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata skim itu akan diperluas kepada keluarga pembeli rumah kali pertama dengan anak yang tinggal di flat sewa awam untuk membolehkan mereka membeli flat dua bilik fleksi atau tiga bilik Standard dengan pajakan lebih singkat.

Beliau berkata keluarga sedemikian lazimnya menghadapi cabaran lebih ketara dalam kehidupan seperti menangani isu perubatan dalam keluarga atau membesarkan anak sebagai ibu atau bapa tunggal.

“Oleh itu, mereka mungkin mempunyai cabaran membeli flat dengan pajakan penuh 99 tahun walaupun sebagai pembeli kali pertama,” katanya.

Flat yang dijual di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru mempunyai MOP 20 tahun untuk memastikan perumahan lebih stabil buat keluarga dan anak.

Butiran lanjut berkaitan Skim Perumahan Permulaan Baru akan diumumkan semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Pengurus kafe, Cik Nur Suhaila, yang tinggal di flat dua bilik di Telok Blangah, tidak pasti sama ada beliau dianggap layak bagi skim tersebut.

Namun, beliau berkata geran $75,000 boleh membantu keluarga tujuh beranaknya membeli rumah sendiri.

“Saya memang inginkan rumah sendiri sejak 10 tahun lalu tetapi saya mempunyai keluarga besar dan simpanan kami sering dihabiskan bagi keperluan lima anak kami,” kata wanita berusia 42 tahun itu yang mempunyai anak berusia antara 12 dengan 24 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg