Pemimpin masyarakat Melayu/Islam mengalu-alukan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam menyediakan sokongan holistik untuk keluarga, terutamanya perubahan dasar berkaitan penjagaan kanak-kanak dan bayi.

Para pemimpin daripada beberapa badan Melayu/Islam (MMO) itu menambah bahawa selain cuti penjagaan anak, subsidi yang diberikan untuk prasekolah dan penjagaan bayi menunjukkan betapa seriusnya pemerintah dalam memastikan kemampanan penduduk Singapura.

Namun, mereka berharap pemerintah akan meluaskan sokongan bagi golongan penjaga yang menjaga ibu bapa lanjut usia atau sakit.

Mereka berkongsi pandangan sedemikian dengan Berita Harian (BH) selepas Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2026 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 23 Ogos.

“Saya rasa perubahan dasar berkaitan penjagaan anak dan penjagaan bayi ini tepat pada waktunya.

“Ini benar-benar menunjukkan bagaimana pemerintah berusaha secara serius untuk memastikan penduduk Singapura boleh berubah,” kata Encik Muhammad Harmizan Abdul Hamid, Timbalan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).

Sependapat dengannya, Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid, berkata:

“Saya rasa dengan adanya inisiatif baharu berkaitan keluarga yang mendapat sokongan padu daripada pemerintah, ia memberi isyarat kepada para majikan, malah untuk kita sebagai golongan profesional juga, bahawa pemerintah ingin memastikan rakyat dapat mencapai keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi.”

Antara lain, Encik Wong mengumumkan bahawa ibu bapa yang bekerja boleh mendapat cuti penjagaan anak (CCL) antara lapan dengan 12 hari bergantung pada jumlah anak berusia 12 tahun dan ke bawah dalam keluarga.

Sebelum ini, ibu bapa yang mempunyai anak berusia tujuh hingga 12 tahun masing-masing layak mengambil CCL sebanyak dua hari.

Meskipun inisiatif demikian disambut baik, pemimpin masyarakat berharap pemerintah akan meluaskan sokongan bagi golongan penjaga.

“Kita telah memperkukuh sokongan bagi penjagaan anak, termasuk cuti penjagaan anak dan cuti untuk ibu bapa.

“Tetapi, adakah terdapat dasar yang boleh kita teliti untuk menyokong golongan profesional yang bekerja dan pada masa yang sama perlu menjaga ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia atau sakit?” soal Encik Harmizan.

Di samping itu, pemimpin masyarakat turut akur bahawa majikan memerlukan lebih banyak masa untuk membantu membina budaya tempat kerja di mana tindakan mengambil masa bersama keluarga tidak dikenakan penalti.

“Apabila kita bercakap tentang pemberian cuti tambahan, saya rasa perkara ini mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan.

“Mereka mungkin tertanya-tanya, ‘Adakah ini bermakna kakitangan saya akan kerap tiada di pejabat atau tidak bekerja, sedangkan saya sendiri sudah berdepan dengan kekurangan tenaga kerja,’” ujar Encik Mohksin.

Oleh demikian, Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail, menyarankan agar para majikan diberikan masa untuk menyesuaikan diri dengan dasar-dasar baharu yang menyokong keluarga.

Dalam pada itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, melahirkan harapan agar sokongan secara menyeluruh dapat terus diberikan supaya dapat memperkukuh hubungan, kesejahteraan serta keupayaan keluarga untuk menghadapi cabaran dalam jangka panjang.

Sementara itu, Encik Wong turut menyatakan tentang peluasan rangkaian M Kuasa Tiga (M³) kepada M Kuasa Tiga+ (M³+), sebagai satu langkah yang melibatkan lebih ramai rakan kongsi dan lebih banyak sumber.

Berkongsi pandangannya, Encik Didicazli berkata:

“M³+ akan menangani pelbagai keperluan masyarakat, termasuk isu kekeluargaan, keluarga yang terjejas akibat pemenjaraan, belia, kesihatan serta pekerjaan.

“Dengan pengiktirafan Perdana Menteri, ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan kita bekerjasama, bersatu hati dan bergerak ke arah matlamat yang sama di bawah M³+, dan kepimpinan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.”

Sehubungan itu, Encik Harmizan berkata beliau melihat peluasan rangkaian M³+ sebagai satu evolusi penting dalam cara LBKM dapat bekerjasama, menggembleng sumber, dan meluaskan jangkauan mereka.

“Di bawah naungan M³+ saya rasa LBKM boleh mewujudkan satu rangkaian dalam kalangan penerima bantuan kami, yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan belia dan pelajar.

“Kita boleh bekerjasama dengan organisasi seperti Rangkaian Profesional Mendaki dan pertubuhan belia lain, demi mewujudkan penglibatan yang lebih besar dalam kalangan pelajar,” ujar Encik Harmizan, yang juga pengerusi M³@Woodlands.