Zakat ‘jaringan keselamatan’ masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zakat ‘jaringan keselamatan’ masyarakat

Mar 8, 2026 | 5:30 AM

Zakat ‘jaringan keselamatan’ masyarakat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan, zakat
Menurut Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) di Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan, zakat berfungsi sebagai pelengkap kepada skim bantuan nasional sedia ada di Singapura. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Di Singapura, zakat berfungsi sebagai salah satu mekanisme sokongan masyarakat Islam yang membantu golongan memerlukan melalui pengagihan dana kepada lapan kategori penerima atau asnaf.

Dana zakat dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan biasanya disalurkan melalui masjid serta pegawai pembangunan sosial yang menilai permohonan bantuan.

Prosesnya bermula apabila individu atau keluarga memohon bantuan di masjid Pembangunan Sosial (SD) berhampiran atau melalui rujukan daripada hospital, pusat khidmat keluarga (FSC) atau agensi lain.

Masjid SD adalah masjid yang bekerjasama dengan Muis di seluruh Singapura untuk menyalurkan bantuan kewangan zakat, baucar makanan fidyah, serta program sokongan pembangunan sosial yang lain.

Pegawai pembangunan sosial akan melakukan penilaian bagi memahami keadaan kewangan dan keperluan keluarga tersebut sebelum menentukan jenis bantuan yang sesuai.

Bantuan zakat bukan hanya dalam bentuk wang tunai yang diberikan bulanan, malah boleh merangkumi bantuan membayar bil utiliti tertunggak, geran pendidikan anak serta baucar fidyah bagi pembelian makanan.

Menurut Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) di Masjid En-Naeem, Ustazah Sarima Jantan, zakat berfungsi sebagai pelengkap kepada skim bantuan nasional sedia ada di Singapura.

“Zakat sebenarnya menjadi satu skim sokongan kepada bantuan nasional sedia ada, supaya keluarga yang menghadapi kesukaran kewangan terus mendapat sokongan,” katanya.

Beliau menambah zakat juga mempunyai hikmah sosial yang besar dalam masyarakat.

“Apabila golongan yang berkemampuan membantu mereka yang memerlukan, ia memupuk perpaduan dan memastikan kekayaan tidak hanya beredar dalam kalangan golongan berada,” ujar beliau.

TIGA SALAH TANGGAPAN MENGENAI ZAKAT

1. Zakat hanya berbentuk bantuan wang tunai

Ramai menyangka zakat hanya disalurkan dalam bentuk wang tunai yang diberi setiap bulan.

Hakikatnya, bantuan zakat merangkumi pelbagai bentuk sokongan bergantung kepada keperluan keluarga penerima.

Antaranya termasuk:

– Bantuan kewangan bulanan

– Penyelesaian hutang atau bil utiliti tertunggak

– Bantuan kecemasan

– Geran pendidikan anak

– Baucar makanan fidyah

– Sokongan kos pengebumian

Selain bantuan kewangan, Muis dan masjid juga menyediakan program sokongan sosioagama seperti pembelajaran Islam, pembangunan kemahiran hidup dan penglibatan masyarakat bagi membantu keluarga bangkit semula.

2. Sumbangan kecil tidak memberi kesan

Ada yang berasa sumbangan zakat mereka terlalu kecil untuk mencetus perubahan.

Menurut Ustazah Sarima, nilai zakat tidak hanya terletak pada jumlahnya.

“Sumbangan itu bukan dinilai pada besar atau kecilnya, namun bagaimana ia dapat membantu keluarga yang memerlukan,” katanya.

Apabila digabungkan, sumbangan daripada ramai pembayar zakat boleh memberi kesan besar kepada masyarakat.

3. Minta zakat memalukan keluarga

Sebahagian individu sebenarnya layak menerima zakat namun segan untuk tampil memohon bantuan.

Menurut Ustazah Sarima, proses permohonan dikendalikan secara sulit dan penuh sensitiviti bagi menjaga maruah pemohon.

Beliau menambah zakat diwujudkan sebagai jaringan sokongan masyarakat, khususnya bagi mereka yang menghadapi kesukaran kewangan akibat masalah kesihatan, pekerjaan atau kos sara hidup.

ZAKAT DI S’PURA

Kategori penerima zakat (Asnaf):

Fakir

Miskin

Fisabilillah

Gharimin (orang berhutang)

Riqab

Muaalaf

Amil (pentadbir zakat)

Ibnu Sabil

Cara memohon bantuan:

Kriteria kelayakan

– Semua warga Singapura dan penduduk tetap yang tergolong dalam 7 peratus golongan berpendapatan rendah di Singapura.

– Pendapatan Per Kapita (PCI) $500 atau lebih rendah.

Permohonan

– Hubungi atau kunjungi Masjid Pembangunan Sosial yang berdekatan dengan alamat kediaman rasmi pemohon.

– Antaranya termasuk masjid Al-Islah (Punggol), Al-Istighfar (Pasir Ris) dan Al-Istiqamah (Serangoon).

– Temu ramah penilaian sebelum diberitahu sama ada mereka layak atau tidak menerima bantuan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg