Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa 3 anak maut dalam nahas di PIE, 2 hari lepas sambut hari lahir

Nov 18, 2025 | 10:33 AM
kemalangan, PIE, lahir
Allahyarham Encik Mohamad Syddyq Mohd Ramlan (dua dari kiri) meninggal dunia setelah motosikal yang dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan dengan kereta di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) berdekatan Toa Payoh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. - Foto ihsan EYZRA NADYRRA ABDULLAH

Hanya dua hari selepas sambutan awal hari lahirnya, seorang bapa kepada tiga anak kecil maut dalam kemalangan jalan raya pada 10 November.

Motosikal yang ditunggang Encik Mohamad Syddyq Mohd Ramlan, 27 tahun, terlibat dalam satu kemalangan dengan kereta di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) menghala ke Changi berdekatan Toa Payoh.

Beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di Geylang dari rumahnya di daerah Jurong West.

Polis berkata mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada sekitar 10.20 pagi. Encik Syddyq kemudian dihantar ke hospital dalam keadaan tidak sedar, dan meninggal dunia di sana.

“Seorang pemandu kereta berusia 31 tahun telah ditahan kerana memandu tanpa pertimbangan munasabah hingga menyebabkan kematian,” kata polis. Siasatan masih dijalankan.

Isteri Allahyarham, Cik Eyzra Nadyrra Abdullah, memberitahu Berita Harian (BH) hari tersebut bermula sebagai hari yang biasa buat keluarga mereka, menghantar anak-anak ke sekolah dan sarapan bersama.

Namun, Cik Ezyra, 28 tahun, tidak pernah terbayang detik pada pagi itu merupakan yang terakhir bersama Encik Syddyq.

Suri rumah itu menerima panggilan daripada nombor suaminya sekitar 10.30 pagi – sesuatu yang jarang berlaku pada waktu itu.

Seorang yang tidak dikenali memaklumkan bahawa suaminya terlibat dalam kemalangan motosikal dan sedang dikejarkan ke hospital.

“Seluruh badan saya menggigil. Seolah-olah susah nak percaya,” kata Cik Ezyra mengenai reaksinya sebaik sahaja mendengar khabar mengenai suaminya itu.

Apabila beliau dan keluarga tiba di hospital, beliau diberitahu Encik Syddyq berada di dalam bilik resusitasi.

“Saya berdoa bersungguh-sungguh untuknya, memohon kepada Allah agar melindunginya. Tetapi selepas setengah jam, hospital beritahu bahawa beliau tidak dapat diselamatkan.

“Begitu sahaja, beliau pergi. Saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal,” luah Cik Eyzra yang berkata mereka sebenarnya mempunyai rancangan untuk meluangkan masa bersama untuk hari itu.

Encik Syddyq bekerja sepenuh masa sebagai Eksekutif Unit Penjagaan Kediaman (Ketua Pasukan) di Rumah Peralihan Pertapis, dan penghantar makanan Grab pada waktu malam untuk menambah pendapatan mereka sekeluarga.

Mereka mempunyai tiga anak perempuan berusia empat, tiga tahun dan setahun.

“Beliau sanggup lakukan apa saja demi anak-anak. Beliau lembut, penyayang, dan sentiasa mendahulukan kami,” kata Cik Eyzra, mengenang memori arwah yang juga merupakan adik bongsu daripada tiga beradik.

Sebagai anak, menantu dan abang ipar, Allahyarham amat rapat dengan keluarga dari kededua belah pihak.

“Anak-anak sangat merindukan beliau. Tapi Allah lebih sayangkannya,” kata Cik Eyzra.

Kata Cik Ezyra lagi, anak sulungnya begitu sedih kerana sudah memahami apa yang berlaku, dan moyangya juga baru meninggal dunia sebulan sebelum bapanya.

“Ia amat berat secara emosi untuknya, tetapi dia berusaha menunjukkan kekuatan,” kongsi Cik Eyzra.

Setiap hari, anak-anak masih mencari ayah mereka.

“Pada waktu pagi, mereka bangun sambil bertanya di mana Daddy. Pada waktu malam pun sama. Saat-saat itu yang paling sukar,” katanya, namun beliau mengakui bahawa sokongan keluarga rapat amat membantu mereka melalui fasa ini.

Satu hantaran yang dikongsi di Instagram kakaknya, dikenali sebagai ‘effykaheesha’ – pada mulanya hanya untuk memaklumkan kepada keluarga dan rakan terdekat atas pemergian arwah – tersebar lebih meluas daripada yang dijangka.

“Ramai tawarkan bantuan – makanan, barang dapur, pakaian, mainan – ada juga pemberi yang merahsiakan identiti. Kami sangat-sangat bersyukur. Semoga Allah membalas kebaikan mereka,” ujarnya.

“Saya berdoa agar Allah memberi kami kekuatan dan agar arwah diberi ganjaran atas segala kasih sayang, kebaikan dan pengorbanannya. Saya mahu terus kuat demi anak-anak kami, kerana saya tahu itu yang arwah paling inginkan.”

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghargai insan tersayang, walaupun dalam detik yang paling biasa.

“Kita tak pernah tahu bila ia akan menjadi kali terakhir,” katanya.

Pemergian Allahyarham lebih memilukan kerana ia berlaku hanya empat hari sebelum sambut hari kelahirannya pada 13 November.

Pada 8 November, keluarga mereka sempat memotong sebiji kek kecil di rumah neneknya sebagai sambutan awal.

“Tiada siapa menyangka itu adalah sambutan terakhir kami dengannya. Tetapi Allah lebih mengetahui. Ini qadak dan qadar,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg