Seorang kakitangan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berusia 49 tahun meninggal dunia selepas rebah menyusuli penyertaannya dalam perlumbaan bot naga, Singapore Regatta Waterfest 2025, pada 16 November.
Encik Mohamad Zaffis Ibrahim merupakan antara ahli pasukan bot naga korporat HDB dan telah menyertai perlumbaan pagi bot naga itu yang diadakan di Pusat Sukan Air di Hab Sukan Singapura, yang terletak di Kallang.
Apabila dihubungi Berita Harian (BH), HDB menyatakan rasa sedih mendalam atas kehilangan anggota kakitangan mereka.
“Kami amat sedih bahawa seorang anggota kakitangan HDB yang mewakili pasukan bot naga HDB di Singapore Regatta Waterfest 2025 pada 16 November telah meninggal dunia,” kata jurucakap HDB dalam satu kenyataan pada 17 November.
HDB juga telah mengesahkan bahawa pegawai komunikasi itu, yang telah bertugas di lembaga tersebut selama 11 tahun, sedang berehat apabila beliau rebah.
“Beliau telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan, namun disahkan meninggal dunia setelah beberapa percubaan menyedarkan semula melalui pernafasan artifisial oleh kru kecemasan tidak berjaya,” kata HDB.
“Kami bersimpati dengan keluarga, sahabat dan rakan sekerja kami yang turut bersedih atas kehilangan mengejut ini. Kami sentiasa berhubung rapat dengan pihak keluarga dan menawarkan sokongan serta bantuan sepenuhnya di saat yang sukar ini,” tambah HDB lagi.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan kepada BH bahawa mereka dimaklumkan mengenai kes kematian luar biasa di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 16 November, 12.20 tengah hari.
“Seorang lelaki berusia 49 tahun telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar dan kemudian disahkan meninggal dunia.
“Berdasarkan siasatan awal, pihak polis tidak mengesyaki sebarang penglibatan unsur jenayah. Siasatan polis masih dijalankan,” kata SPF.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pihak penganjur, Kallang Alive Sport Management (KASM) dan Persatuan Bot Naga Singapura (SDBA), mengesahkan bahawa Allahyarham Mohamad Zaffis dilaporkan tidak sihat semasa acara Singapore Regatta Waterfest 2025 pada pagi itu, sebelum bantuan perubatan segera diberikan di tempat kejadian.
Beliau juga telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Sebagai penganjur, Kallang Alive Sport Management dan Persatuan Bot Naga Singapura sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memberikan bantuan lanjut jika diperlukan.
“Kami amat sedih dengan kejadian ini, dan simpati kami ditujukan kepada keluarga Allahyarham di saat yang sukar ini," tambah kenyataan bersama itu.
BH difahamkan bahawa Allahyarham Mohamad Zaffis meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki.
Beliau ialah abang sulung kepada tiga adik beradik.
Apabila dihubungi BH, pihak keluarga telah memohon untuk diberikan ruang dan masa peribadi, dan enggan ditemu ramah.
Di media sosial, ramai kenalan, rakan sekerja atau rakan sekolah turut berkongsi ucapan takziah, mengenang Allahyarham sebagai seorang yang ceria dan baik hati.
Antaranya ialah Encik Noraschid Ghani, 51 tahun saudara dan juga rakan sekolah Allahyarham semasa di Sekolah Menengah Temasek.
“Beliau seorang peramah, mudah didekati dan merupakan seorang bapa yang penyayang,” kata karyawan dalam bidang teknologi maklumat itu kepada BH.
Seorang lagi rakan sekelas Allahyarham Mohamad Zaffis semasa di Politeknik Ngee Ann (NP) ialah Encik Ion Danker, 46 tahun.
“Kami semua rakan sekelas amat terkejut dengan pemergian mendadak ini. Kami mengenali Zaffis sebagai seorang yang sangat pandai berjenaka.
“Beliau sentiasa dikenang sebagai individu yang berwajah serius tetapi sebenarnya seorang penghibur. Beliau juga mudah mesra dan disenangi oleh semua orang,” kata Encik Danker, yang juga merupakan rakan kerja Allahyarham semasa bekerja di saluran ESPN Star Sports setelah menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Jenazah Allahyarham Mohamad Zaffis selamat dikebumikan di Pusara Aman pada 17 November.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg