Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa hargai peluang eratkan hubungan, tangkap udang dengan anak

Sep 7, 2024 | 5:00 PM
‘Fandi’ (bukan nama sebenar), pesalah di bawah pengawasan penyelia masyarakat (dua dari kiri) bersama anaknya berusia 10 tahun (dua dari kanan) menangkap udang bersama di acara ‘Prawning with Dad’ anjuran Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH). Bersama mereka ialah relawan Bapa Sepanjang Hayat, Encik Bramsha Osman (kiri), dan penyelia masyarakat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura, DSP Eddy Asmara Rahman (kanan).
‘Fandi’ (bukan nama sebenar), pesalah di bawah pengawasan penyelia masyarakat (dua dari kiri) bersama anaknya berusia 10 tahun (dua dari kanan) menangkap udang bersama di acara ‘Prawning with Dad’ anjuran Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH). Bersama mereka ialah relawan Bapa Sepanjang Hayat, Encik Bramsha Osman (kiri), dan penyelia masyarakat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura, DSP Eddy Asmara Rahman (kanan). - Foto PERKHIDMATAN PENJARA SINGAPURA

Sejak dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan tiga bulan kerana kesalahan dadah pada 2022, Fandi (bukan nama sebenar) jarang dapat bertemu dengan anaknya, apatah lagi menghabiskan masa bermakna dengan mereka.

Oleh itu, masa yang beliau luangkan dengan anak lelakinya yang berusia 10 tahun untuk menangkap udang bersama di acara Prawning with Dad di Downtown East pada 7 September memang amat berharga baginya.

Acara yang dianjurkan oleh Pusat Kebapaan (CFF) dan Bapa Sepanjang Hayat (BSH) itu menghimpunkan dua bekas banduan dan 12 pesalah di bawah Skim Pelepasan Harian (DRS) dan Skim Persediaan Pekerjaan (EMPs) serta anak-anak mereka untuk melakukan kegiatan menangkap udang bersama.

Acara tersebut bertujuan mengeratkan hubungan antara si bapa dengan anaknya.

Menurut ‘Fandi’, beliau amat menghargai peluang menyertai acara itu kerana baginya, setiap masa yang diluangkan bersama keluarga adalah penting.
 
“Walaupun kegiatan ini hanya setengah hari, ini akan menjadi satu memori indah bagi saya dan keluarga.

“Melalui program CFF, saya dapat belajar mengawal emosi dan yang paling penting, saya ingin berusaha untuk sentiasa berada di sisi keluarga. Saya ingin anak-anak tahu bahawa mereka boleh bergantung pada Papa mereka dan bahawa saya sayangkan mereka,” ujar bapa empat anak yang berusia antara tujuh dengan 12 tahun itu.

Antara mereka yang turut hadir memberi sokongan di acara itu ialah Pengurus Skim Pelepasan Harian (DRS) di bawah Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Timbalan Superintenden (DSP) Eddy Asmara Rahman.

DSP Eddy menarik perhatian bahawa sokongan keluarga dan masyarakat adalah penting dalam usaha membantu bekas banduan dan pesalah untuk bersepadu semula dengan masyarakat.
 
“Inisiatif dan kegiatan seperti ini bertujuan mengukuhkan lagi hubungan antara bapa dengan anak.

“Apabila di penjara, bapa ini kehilangan banyak masa (untuk diluangkan dengan anak mereka) dan ini adalah kesempatan untuk mereka membina semula hubungan bersama keluarga,” katanya.

Bagi seorang relawan BSH yang telah melibatkan diri dengan kumpulan itu selama enam tahun, Encik Bramsha Osman, beliau berharap program seperti ini juga dapat menggalak kaum bapa memainkan peranan lebih aktif dengan keluarga mereka.

“Bapa adalah pempengaruh pertama dalam kehidupan anak-anak. Tingkah laku mereka akan menjadi teladan bagi anak-anak.

“Justeru menerusi bengkel dan program seperti ini, kami berusaha mendidik bapa-bapa ini untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan rapat bersama keluarga,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg