Bersempena Hari Bapa yang diraikan baru-baru ini, kebanyakan kita meraikan insan yang bergelar ayah. Namun, tidak semua perjalanan hidup itu sama.

Ada yang dikurniakan seorang ayah tiri yang hadir dengan penuh tanggungjawab, menggalas peranan sebagai ketua keluarga, seakan-akan ayah kandung sendiri.

Kehadiran mereka bukan sekadar pelengkap, malah menjadi tunjang yang memastikan keluarga terus kukuh dan harmoni.

Dalam sesebuah keluarga, ayah sering digambarkan sebagai tiang seri yang menjadi pelindung, penyokong, dan pembimbing. Peranan ini tidak terbatas kepada ayah kandung, malah turut dipikul oleh ayah tiri.

Mereka menjaga keluarga serta anak dengan kasih sayang dan tanggungjawab, walaupun anak itu bukan daripada darah daging sendiri.

Tidak dinafikan, ada ayah yang sanggup berkorban masa, tenaga, dan kebahagiaan diri demi membesarkan anak tiri dengan penuh kasih dan perhatian.

Dalam Islam, apabila seorang lelaki menikahi seorang wanita dan telah menggaulinya, anak perempuan wanita itu menjadi mahram kepada lelaki tersebut.

Berdasarkan Surah An-Nisa, ayat 23, Allah swt menetapkan bahawa anak tiri, atau rabibah, haram dinikahi oleh ayah tiri setelah berlaku hubungan suami isteri dengan ibunya.

Oleh itu, ayah tiri dan anak tiri mempunyai hubungan mahram, dan anak tiri dibenarkan tidak berhijab di hadapan ayah tirinya. Namun begitu, kedua-duanya tetap perlu menjaga adab, batas pergaulan, dan kehormatan sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.

Walaupun nafkah dan ketaatan tidak diwajibkan antara ayah tiri dengan anak tiri seperti antara ayah kandung dengan anak kandung, Islam menekankan tanggungjawab moral dan kasih sayang.

Ayah tiri digalakkan berbuat baik, menghormati, dan melindungi anak tiri, kerana hubungan mereka terjalin melalui pernikahan yang sah dan termasuk dalam keluarga yang perlu dijaga keharmoniannya.

Masyarakat perlu berfikiran terbuka terhadap ayah tiri kerana ramai antara mereka yang bertanggungjawab dan menyayangi keluarga seperti ayah kandung.

Dalam era moden, kesedaran tentang peranan ayah tiri semakin meningkat, dengan penekanan bahawa kasih sayang dan kepimpinan keluarga bergantung pada keikhlasan dan rasa tanggungjawab, bukan semata-mata hubungan darah.

Seorang ayah tiri yang bertanggungjawab wajar dihargai dan diiktiraf setanding dengan ayah kandung.

Walaupun tidak mempunyai pertalian darah, mereka tetap menggalas amanah dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab.

Dalam Islam, hubungan ini diiktiraf sebagai mahram apabila perkahwinan sah berlaku, menandakan pentingnya menjaga adab dan kehormatan.

Justeru, masyarakat perlu menilai ayah tiri bukan berdasarkan darah, bahkan berdasarkan keikhlasan, pengorbanan, dan kasih yang mereka curahkan demi kesejahteraan keluarga.

Penulis merupakan Pegawai Dakwah (MRE) di Masjid Alkaff Kampung Melayu.

SEKILAS

Cara menderma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Bagi keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Bagi yang ingin hulur sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. Atau PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5.30 petang. Pada Jumaat, waktu operasi bermula 9 pagi hingga 5 petang.

6. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.