Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Inovasi kreatif masjid dekati generasi muda melalui ‘Kad PawKeMon’

Masjid Alkaff Kampung Melayu lancar pendekatan segar dampingi belia untuk cipta kad peribadi ikut personaliti, haiwan peliharaan
Dec 19, 2025 | 5:30 AM
Kad PawKeMon bukan sekadar kegiatan santai, malah platform kreatif yang menghubungkan masyarakat secara relevan, dengan kebebasan peserta memilih foto peribadi, rakan atau haiwan peliharaan sebagai rekaan kad.
Kad PawKeMon bukan sekadar kegiatan santai, malah platform kreatif yang menghubungkan masyarakat secara relevan, dengan kebebasan peserta memilih foto peribadi, rakan atau haiwan peliharaan sebagai rekaan kad. - Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Dalam usaha mendekatkan institusi masjid kepada masyarakat, khususnya golongan muda, Masjid Alkaff Kampung Melayu memperkenalkan satu daya usaha kreatif yang kian mendapat perhatian, PawKeMon Cards, atau Kad PawkeMon.

Diinspirasikan daripada kad permainan popular Pokemon, konsep ini menampilkan kad foto peribadi yang direka khas mengikut pilihan peserta, lengkap dengan elemen ‘attack’ (serangan), ‘trainer’ (pelatih) dan kuasa unik mereka.

Kad PawKeMon ini bukan sekadar kegiatan santai, malah satu platform strategik untuk menghubungkan masyarakat dengan cara yang lebih segar dan relevan.

Peserta bebas memilih foto sendiri, gambar rakan atau haiwan peliharaan kesayangan mereka untuk dijadikan rekaan utama pada kad tersebut.

Dengan ruang menambah nama watak serta kuasa pilihan, setiap kad menjadi karya peribadi yang menggabungkan keseronokan, kreativiti serta identiti diri.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Komunikasi di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustazah Nursakina Khalida Osman, setiap kad boleh disesuaikan dengan nama dan pilihan yang diinginkan, menjadikannya karya unik bagi setiap individu.

“Dari segi mutu, kad ini dicetak menggunakan bahan lasak dan kalis air, menjadikannya sesuai sebagai cenderahati, aksesori peribadi atau kad identiti bagi acara tertentu.

“Hasil cetakan yang kukuh dan premium menjadikan Kad PawKeMon bukan sahaja menarik secara visual, malah tahan lama sebagai simpanan bermakna.

“Daya usaha ini mendapat sambutan amat menggalakkan dalam beberapa acara terdahulu. Antaranya dalam acara Purrsa Malam 2025, di mana versi khas kad haiwan peliharaan diperkenalkan.

“Respons yang diterima sangat positif sehingga membuka ruang kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk mendekati pencinta kucing dan mengetengahkan peranan masjid sebagai ruang mesra masyarakat.

“Begitu juga dalam Pertandingan Silat interSRP, di mana kad pejuang direka untuk peserta dan penonton sebagai tanda sokongan dan kenangan eksklusif acara tersebut,” jelasnya.

Beliau menjelaskan lebih daripada sekadar kegiatan seni, Kad PawKeMon mampu membawa nilai masyarakat yang besar.

Ia menggalakkan interaksi, merangsang daya kreativiti dan mencetus kegembiraan dalam kalangan peserta.

Kegiatan ini juga membina hubungan lebih erat antara jemaah dengan masjid, di samping memberi gambaran masjid merupakan ruang hangat, terangkum dan selaras dengan minat generasi masa kini.

Menariknya, daya usaha ini turut menyumbang kepada tujuan kebajikan. Keseluruhan 100 peratus hasil jualan disalurkan kepada Projek Naik Taraf Masjid (MUP), sekali gus membolehkan setiap penyertaan memberi impak langsung kepada pembangunan dan kelestarian masjid untuk generasi akan datang.

“Melihat kepada sambutan yang semakin meningkat, pihak masjid berhasrat mengembangkan konsep Kad PawKeMon kepada lebih banyak acara, sambil memperkenalkan tema baru serta menghasilkan koleksi edisi terhad pada masa hadapan.

“Dengan pendekatan kreatif sebegini, masjid bukan saja menjadi pusat ibadah, bahkan jambatan yang menggabungkan tradisi dengan trend moden.

Kad PawKeMon membuktikan bahawa pendekatan inovatif mampu membuka pintu baru dalam mendekati masyarakat, menghidupkan kembali fungsi masjid sebagai pusat masyarakat yang relevan, dekat di hati, dan sentiasa menerima semua lapisan masyarakat.

“Sertai daya usaha ini, cipta kad anda, dan sokong perjalanan membina masjid untuk generasi seterusnya,” tambah Ustazah Nursakina.

Orang ramai yang ingin menyertai daya usaha ini atau mencipta kad unik mereka sendiri boleh berbuat demikian dengan mudah.

Mereka hanya perlu menghantar mesej melalui Instagram Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk membuat tempahan.

SEKILAS:

Derma kepada Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:

1. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Untuk sumbangan, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun OCBC: 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-melkan tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

3. Atau PayNow ke UEN S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

4. Hantarkan cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

5. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis, 9 pagi hingga 5:30 petang. Pada Jumaat pula, waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 5 petang.

* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu .

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg