Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bapa tunggal pertingkat kemahiran hasil rujukan M³

Mohamad Taufik Mohamad Taha antara 70 benefisiari semasa acara ‘Sharing Ramadan Together’ anjuran NTUC dan M³ @ Geylang Serai
Mar 6, 2025 | 8:39 PM
Encik Mohamad Taufik Mohamad Taha, 55 tahun, antara 70 benefisiari semasa acara ‘Sharing Ramadan Together’ anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan M Kuasa Tiga (M³) @ Geylang Serai pada 6 Mac.
Encik Mohamad Taufik Mohamad Taha, 55 tahun, antara 70 benefisiari semasa acara ‘Sharing Ramadan Together’ anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan M Kuasa Tiga (M³) @ Geylang Serai pada 6 Mac. - Foto ST

Sebagai bapa tunggal yang menyara tiga orang anak, Encik Mohamad Taufik Mohamad Taha, 55 tahun, berdepan dengan pelbagai cabaran, baik dari segi kewangan mahupun kesihatan.

Demi kelangsungan hidup, beliau mengambil keputusan menjadi pemandu kenderaan sewa privet (PHV) ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Namun, pekerjaan itu tidak menjamin pendapatan yang stabil, malah memaksanya bekerja berjam-jam lamanya demi menampung keperluan keluarga.

Enggan menjadikan cabaran sebagai penghalang, Encik Taufik kini giat meningkatkan kemahirannya melalui kursus Penganalisis Data Bersekutu di NTUC LearningHub.

Menurut Encik Taufik, peluang itu direalisasikan dengan bantuan rujukan daripada M Kuasa Tiga (M³) melalui bidang tumpuan keempatnya (FA4) yang memberi fokus pada pekerjaan dan daya kerja.

Sejak pendaftarannya pada September 2024, beliau berharap langkah itu akan membuka peluang pekerjaan yang lebih baik dalam peralihan kerjayanya.

“Saya sedar bahawa industri data semakin berkembang pesat dan memiliki prospek yang baik.

“Jadi saya mengambil peluang ini untuk menambah ilmu dan tingkatkan daya saing saya,” katanya.

Keputusan untuk menyertai kursus itu bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru.

Menurutnya, beliau sering melihat iklan kursus latihan di media sosial dan tertarik dengan bidang analitik data.

“Prosesnya sangat mudah dan terus-terang, sangat membantu bagi seseorang seperti saya yang sudah lama tidak menghadiri kelas,” ujar Encik Taufik.

Walaupun pada awalnya menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan pembelajaran semula, beliau kini sudah semakin selesa.

Jadual kelasnya yang berlangsung dari 7 malam hingga 10 malam beberapa hari seminggu memerlukan beliau mengurus masa dengan lebih baik.

“Kini, saya perlu membahagikan masa antara memandu PHV, waktu kelas, dengan masa bersama keluarga.

“Untung anak-anak saya sudah dewasa dan lebih berdikari.

“Mereka boleh menjaga keperluan mereka sendiri semasa saya menghadiri kelas-kelas ini,” tambah beliau mengenai anak-anaknya yang berusia 20, 23 dan 24 tahun.

Encik Taufik merupakan antara 70 benefisiari dalam acara ‘Sharing Ramadan Together’ yang dihadiri Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, bersama Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, pada 6 Mac.

Dalam acara tersebut, Encik Taufik turut menerima pek sempena bulan Ramadan yang mengandungi kurma, susu soya dan keperluan berbuka puasa lain.

Dalam ucapannya, Encik Ng Chee Meng menekankan misi NTUC dalam mempertingkat kemahiran individu masyarakat Melayu/ Islam demi menyatukan mereka.

“Dengan segala yang berlaku di seluruh dunia, tekanan yang dihadapi masyarakat adalah realiti yang tidak boleh diabaikan.

“Sejak sekian lama, matlamat NTUC adalah untuk membantu individu termasuk pencari kerja dewasa (40 tahun ke atas), dalam meneroka peluang pekerjaan baru.

“Misi ini adalah penting untuk kita teruskan usaha yang dapat merapatkan hubungan dan memperkukuh sokongan antara satu sama lain dengan masyarakat, ujar Encik Ng.

Encik Fahmi turut berkata: “Kami diingatkan tentang betapa pentingnya (untuk kita) saling menyokong dalam masyarakat, terutamanya di bulan Ramadan.

“Kerjasama dengan pertubuhan seperti M³ amat dihargai, kerana ia membuka lebih banyak peluang untuk kami dekati anggota masyarakat serta memperkasakan tenaga kerja melalui bimbingan kerjaya, peningkatan kemahiran, dan pemadanan pekerjaan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg