Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M³ bantu pekerja rebut peluang kerja, tingkat kemahiran

Feb 27, 2025 | 5:50 PM
Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Mohd Fahmi Aliman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.
Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Mohd Fahmi Aliman, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East. - Foto MDDI

M Kuasa Tiga (M³) telah membantu individu Melayu/Islam merebut peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran, namun dengan landskap ekonomi yang berkembang, adalah perlu bagi pemerintah terus memperkukuh sokongan bagi peningkatan kemahiran, inisiatif penempatan kerja dan program peralihan kerjaya, kata Anggota Parlimen (AP) pekerja, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Ini supaya pekerja dapat dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan dan mobiliti kerjaya untuk berkembang maju, terutama di tengah-tengah perkembangan teknologi yang pesat, tambah beliau.

Menekankan pentingnya meningkatkan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, lebih-lebih lagi dengan industri baru dalam ekonomi hari ini, Encik Fahmi berkata program latihan dan inisiatif peningkatan kemahiran mesti direka untuk merapatkan jurang kemahiran dan mempersiapkan pekerja untuk industri baru.

“Menyedari bahawa kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi hari ini sentiasa berkembang, terutamanya dalam sektor hijau, digital dan penjagaan, kita mesti memperkasakan individu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pekerjaan dan kekal berdaya saing dalam tenaga kerja,” kata beliau, yang merupakan Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

Dalam usaha membantu pekerja Melayu/Islam, M³ melalui bidang tumpuan keempatnya (FA4) mengenai pekerjaan dan daya kerja, telah melaksanakan beberapa strategi.

Ini termasuk menghubungkan pekerja dengan memudahkan akses kepada peluang pekerjaan, memahami keperluan industri, dan menyediakan bimbingan kerjaya.

“Ia memastikan individu dipadankan dengan laluan kerjaya yang sesuai untuk pertumbuhan jangka panjang, bukan sekadar mengisi kerja kosong.

“Melalui inisiatif seperti pameran pekerjaan, kaunseling kerjaya, bengkel dan perkongsian industri, kami boleh membantu pekerja beralih secara berkesan kepada pekerjaan yang mampan,” kata beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East.

Encik Fahmi turut mengetengahkan usaha FA4 dalam membantu pekerja mengharungi perubahan dan membina daya tahan, termasuk dengan menjalani latihan celik digital, mempromosikan kecekapan berkaitan dengan ekonomi digital dan menyediakan sokongan untuk pekerja yang beralih kepada industri baru.

Beliau menambah bahawa tumpuan juga diberikan kepada tiga golongan tenaga kerja penting – pekerja platform, karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) pertengahan kerjaya dan pekerja lanjut usia.

Tiga golongan itu mewakili segmen penting ekonomi, dengan setiap daripadanya mempunyai keperluan dan cabaran unik, kata Encik Fahmi.

Justeru, adalah penting untuk menyokong dan memperkasakan setiap kumpulan itu untuk berkembang maju dalam landskap ekonomi yang sedang berkembang, tambah beliau.

“Dalam usaha kami memastikan kejayaan FA4, saya menyeru pemerintah supaya terus mengukuhkan sokongan untuk meningkatkan kemahiran, inisiatif penempatan pekerjaan dan program peralihan kerjaya.

“Dengan berbuat demikian, kita boleh menjaga tenaga kerja kita pada masa hadapan dan memastikan setiap pekerja mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang bermakna,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg