Topik diikuti
Pergi ke BHkuBapa tunggal tabah galas amanah jaga anak istimewa, ayah hidap barah
Bapa tunggal tabah galas amanah jaga anak istimewa, ayah hidap barah
Demi dekat dengan keluarga, pengurus kanan tolak peluang kerjaya di luar negara
Bapa tunggal tabah galas amanah jaga anak istimewa, ayah hidap barah
Ketika Encik Adyan Mohammed Raziff masih kecil, beliau sering akan mencari dan bertanya tentang kehadiran ibunya, ketika kanak-kanak lain sebayanya berlari pulang kepada ibu masing-masing.
Pada saat-saat meruntun jiwa, bapanya, Encik Mohammed Raziff Abdul Hamid, akan mendakap rapat anaknya yang mengalami autisme itu agar dia tenang demi memastikan si kecil tidak pernah rasa terpinggir.
“Saya tak mahu anak saya rasa kurang daripada orang lain,” kata Encik Raziff.
Sejak beliau dan isteri berpisah ketika Encik Adyan berusia tiga tahun, tanggungjawab membesarkan anak tunggal mereka itu diserahkan kepada Encik Raziff.
Bagi bapa berusia 57 tahun itu, tugas memastikan anaknya kekal dijaga dengan penuh kasih sayang bukan sekadar tanggungjawab seorang bapa, bahkan satu amanah yang perlu dipikul sebaik mungkin.
Namun, perjalanan membesarkan Encik Adyan sebagai bapa tunggal bukanlah mudah.
“Antara cabaran ketika Adyan membesar adalah kesukarannya bergaul dengan rakan sebaya.
“Pengalaman sering melihat rakan lain bersama ibu masing-masing sedikit sebanyak menyebabkan Adyan menjadi lebih pendiam dan cenderung mengasingkan diri,” kata Encik Raziff, pengurus kanan perancangan rangkaian di Singtel itu.
Meskipun begitu, beliau bersyukur kerana tidak pernah bersendirian dalam membesarkan anaknya.
“Saya banyak dibantu ibu bapa saya, adik ipar, kawan-kawan dan ahli keluarga lain. Mereka semua menerima Adyan seperti anak sendiri,” kata abang sulung dua beradik itu.
Kini, lebih 16 tahun kemudian, beliau bukan sahaja membesarkan Encik Adyan, kini 19 tahun yang mengalami autisme berfungsi tinggi, malah turut menjaga ibu bapanya yang sudah berusia lebih 80 tahun.
Bapanya, Abd Hamid Supa’at, pula sedang menjalani rawatan barah prostat yang dikesan sejak 2023.
Sebagai penjaga utama bagi Encik Adyan, yang kini menuntut di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Encik Raziff menjelaskan, anaknya kelihatan seperti kanak-kanak lain pada awalnya.
Namun, apabila meningkat usia remaja, beberapa tingkah lakunya kelihatan lain daripada lain.
“Hanya sekitar usia 15 atau 16 tahun, Adyan menjalani penilaian yang akhirnya mengesahkan beliau menghidap autisme berfungsi tinggi.
“Saya belajar untuk lebih memahami cara dia berfikir dan melihat dunia daripada perspektifnya.
“Bagi saya, membesarkan anak istimewa ini banyak mengajar saya bahawa pendekatan keibubapaan yang biasa diambil tidak semestinya berkesan,” katanya.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, agama juga menjadi sumber kekuatan utama buat mereka berdua.
Sejak kecil, Encik Adyan menunjukkan minat mendalam terhadap Al-Quran. Dia gemar mendengar bacaan Al-Quran melalui aplikasi di iPad dan mampu menghafal ayat suci dengan mudah.
Minat itu turut dipengaruhi oleh nenek dan moyangnya yang menghabiskan berjam-jam setiap hari membaca Al-Quran di rumah.
Selepas menunaikan umrah pertama pada usia 13 tahun, Encik Adyan semakin serius mendalami hafazan sebelum berjaya menghafal keseluruhan Al-Quran pada usia 18 tahun.
Di samping menjaga Encik Adyan, Encik Raziff akur perlu menguruskan keperluan bapanya yang menjalani rawatan barah yang dihidapi.
“Setiap bulan, saya akan menemani bapa saya untuk menjalani pemeriksaan dan ujian susulan, sambil memastikan Adyan menghadiri sesi kaunseling yang dijadualkan,” katanya.
Beliau juga bersyukur kerana mempunyai majikan yang memahami, kemudahan cuti keluarga yang fleksibel serta bantuan daripada adiknya dalam berkongsi tanggungjawab penjagaan.
Malah, beliau pernah menolak peluang kerjaya di luar negara demi memastikan dapat terus berada dekat dengan keluarga.
Walaupun tugas menjaga anak dan ibu bapanya menuntut banyak pengorbanan, Encik Raziff tidak pernah melihatnya sebagai beban.
Sebaliknya, beliau menganggap semuanya sebagai amanah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Doa saya setiap hari bukan supaya hidup menjadi mudah, tetapi supaya Allah beri saya hikmah, rezeki dan kekuatan untuk membimbing anak saya sebaik-baiknya,” katanya.
“
Saya belajar untuk lebih memahami cara dia berfikir dan melihat dunia daripada perspektifnya. Bagi saya, membesarkan anak istimewa ini banyak mengajar saya bahawa pendekatan keibubapaan yang biasa diambil tidak semestinya berkesan.