Bagi ramai bapa, berbincang dengan anak berhubung topik mengenai seks dan perhubungan mungkin disifatkan janggal.
Oleh itu, pertubuhan sosial BapaHebat SG akan menganjurkan satu sesi dialog masyarakat dalam siri, ‘Teh Tarik bersama Ayah’.
Ia khusus ntuk membekalkan kaum bapa dengan keyakinan serta alat untuk membolehkan mereka berbual secara terbuka dan bersesuaian mengikut usia anak-anak mereka.
Dengan judul, ‘The Birds and the Bees: Run or Confront – Every Father’s Dilemma’, sesi yang akan berlangsung di hab perusahaan masyarakat, The Foundry pada 24 Mei itu bertujuan mewujudkan ruang santai dan selamat untuk kaum bapa membincangkan topik pendidikan seksual.
Di samping itu, ia turut memberikan mereka lebih keyakinan dan kesediaan untuk berbincang secara terbuka dengan anak-anak mengenai topik tersebut.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) pada 22 Mei, pengasas bersama BapaHebat SG, Encik Jamsari Ahmad, menyatakan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk melengkapkan kaum bapa dengan keyakinan dan panduan agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih giat.
Apatah lagi dalam dunia yang semakin terdedah pada pengaruh luar seperti media sosial.
“Ramai bapa tidak pasti cara atau bila masa yang sesuai untuk mulakan perbualan tentang seks dan hubungan.
“Kajian juga menunjukkan bahawa penglibatan bapa dalam pendidikan seksual anak memberi kesan positif terhadap tingkah laku dan kesejahteraan anak itu,” kongsi beliau.
Terletak di bangunan The Foundry di 11 Prinsep Link, BapaHebat SG membantu golongan bapa yang sedang menjalani hukuman penjara, bekas pesalah dan bapa yang berisiko atau tidak mampu untuk menyara keluarga, agar dapat menjadi penjaga yang lebih bertanggungjawab dalam kehidupan anak-anak mereka.
Menurut Encik Jamsari, sesi itu juga selari dengan misi pertubuhan masyarakat itu untuk memperkasa golongan bapa agar lebih terlibat dalam kehidupan anak-anak dan dengan masyarakat secara keseluruhan.
Sesi dialog masyarakat itu juga akan menampilkan beberapa anggota panel, termasuk penulis bersama buku, Sex, Soul and Islam, Encik Osman Sidek.
Memetik analogi perbualan tentang rokok dan dadah, Encik Osman menjelaskan kepada BH bahawa perbualan ibu bapa tentang seks bersama anak-anak mereka tidak seharusnya ditakuti.
“Bahkan, hakikatnya adalah... jika anda berbual dengan anak tentang seks, anda sebenarnya berpeluang menyampaikan nilai-nilai yang betul.
“Nilai asas seperti mengapa anak perlu memberi tumpuan kepada pelajaran, supaya beliau dapat berdikari dengan kerjaya yang baik, membina sahsiah diri dan sebagainya, sebelum memikirkan tentang mencari pasangan hidup,” ujar beliau.
Sesi dialog masyarakat itu dibiayai Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) dan disokong oleh Yayasan Mendaki.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg