Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barangan runcit $1 untuk penduduk Marsiling-Yew Tee di bawah skim baru

Jan 18, 2025 | 5:25 PM
AP GRC Marsiling-Yew Tee (dari kanan) Encik Zaqy Mohamad; Perdana Menteri Lawrence Wong; Cik Hany Soh beramah mesra dengan penduduk GRC Marsiling-Yew Tee yang menerima ‘Tawaran MY $1’.
AP GRC Marsiling-Yew Tee (dari kanan) Encik Zaqy Mohamad; Perdana Menteri Lawrence Wong; Cik Hany Soh beramah mesra dengan penduduk GRC Marsiling-Yew Tee yang menerima ‘Tawaran MY $1’. - Foto ST

Lebih 10,000 isi rumah di GRC Marsiling-Yew Tee memperoleh barangan runcit – satu paket beras sebanyak 2.5 kilogram, satu liter minyak masak dan satu paket berisi 30 biji telur – dengan hanya $1 bagi setiap barang.

Daya utama yang dinamakan ‘Tawaran MY $1’ itu bertujuan menyokong penduduk Marsiling-Yew Tee dalam mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat serta memastikan barangan runcit mampu dimiliki oleh setiap isi rumah.

Skim itu dilancarkan bagi penduduk kawasan tersebut pada 18 Januari, dan lebih banyak tawaran sedemikian akan disediakan pada masa akan datang untuk membantu penduduk menangani kos kehidupan di Singapura, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, berkongsi lebih banyak bantuan akan diberikan kepada rakyat Singapura secara umumnya selepas Belanjawan 2025 dibentangkan pada Februari.

Di majlis pelancaran daya utama tersebut di 888 Plaza Atrium, Woodlands, Encik Wong berkata:

“Di seluruh dunia, semua orang berasa tekanan harga lebih tinggi. Namun, di Singapura, kami melakukan segala yang termampu untuk membantu penduduk mengatasi kenaikan harga ini.

“Bulan depan (Februari), kami akan membentangkan belanjawan dan akan terus memberikan bantuan kepada rakyat Singapura untuk menangani tekanan kos sara hidup.”

Di acara tersebut, Encik Wong ditemani penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; Cik Hany Soh.

Mereka melancarkan daya utama itu dan turut serta dalam memberi barangan runcit kepada beberapa penduduk yang hadir.

AP GRC Marsiling-Yew Tee (dari kiri) Encik Alex Yam; Perdana Menteri Lawrence Wong; Encik Zaqy Mohamad; Cik Hany Soh, melancarkan daya utama ‘Tawaran MY $1’ di 888 Plaza Atrium, Woodlands, pada 18 Januari.
AP GRC Marsiling-Yew Tee (dari kiri) Encik Alex Yam; Perdana Menteri Lawrence Wong; Encik Zaqy Mohamad; Cik Hany Soh, melancarkan daya utama ‘Tawaran MY $1’ di 888 Plaza Atrium, Woodlands, pada 18 Januari. - Foto ST

Sebelum itu, penduduk perlu membeli tiga kupon, bernilai $1 setiap satu, bagi tiga barang tersebut di Kelab Masyarakat (CC) terdekat mereka antara 30 Disember 2024 dengan 17 Januari 2025.

Kupon itu kemudian ditebus untuk mendapatkan tiga barangan runcit, dengan maksimum tiga kupon sahaja dibenarkan bagi setiap isi rumah.

Pertukaran kupon bagi barangan tersebut akan berlangsung di keempat-empat kawasan GRC tersebut – Limbang, Marsiling, Woodgrove, Yew Tee – pada 18 dan 19 Januari 2025.

Menurut Encik Zaqy, sekitar 20 peratus daripada penduduk Marsiling-Yew Tee telah mendapat manfaat daripada bantuan itu dan ia dijangka meningkat pada dua hari berikutnya.

Beliau menambah setakat ini, mereka akan mengekalkan tiga barangan tersebut, namun akan meneroka usaha lain berdasarkan maklum balas penduduk untuk penambahbaikan.

“Yang pasti, kami akan melihat cara untuk terus membantu. Kami akan menilai waktu dan peluang yang sesuai, untuk menantikan beberapa daya utama masa depan,” jelasnya.

Menurut Encik Zaqy lagi, usaha sedemikian akan dilakukan untuk melengkapkan sokongan yang diberikan pemerintah seperti baucar CDC dan GST.

Beliau mengalu-alukan lebih ramai tampil untuk bantu meringankan kos keperluan masyarakat.

Di samping itu, penduduk Marsiling-Yew Tee bersyukur daya utama ‘Tawaran MY $1’ itu diadakan dan berpendapat ia mampu mengurangkan kos keperluan mereka.

Ditemui Berita Minggu (BM), Cik Zubaidah Mohd Yusoff, 63 tahun, berkata keperluan yang disediakan mampu menampung mereka sekeluarga selama dua minggu.

“Satu paket telur (30 biji) itu biasanya sekitar $6, namun sekarang kami dapat untuk $1,” ujar beliau, yang mengalu-alukan jika inisiatif itu diperluaskan.

Suaminya, Encik Muhammad Fauzi Kamsan, 65 tahun, turut bersetuju dan berkata proses untuk mendapatkan barangan runcit itu amat teratur dan kemas.

Mereka merupakan penduduk Woodlands sejak 1999 dan tinggal bersama dua anak perempuan mereka.

(Dari kiri) Anak perempuan Cik Zubaidah, Cik Liyana Muhammad Fauzi; Cik Zubaidah Mohd Yusoff; Encik Muhammad Fauzi Kamsan merupakan antara 10,000 penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee yang menerima ‘Tawaran MY $1’.
(Dari kiri) Anak perempuan Cik Zubaidah, Cik Liyana Muhammad Fauzi; Cik Zubaidah Mohd Yusoff; Encik Muhammad Fauzi Kamsan merupakan antara 10,000 penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee yang menerima ‘Tawaran MY $1’. - Foto BH oleh MUHD HAZMAN ABD AZIZ

Pasangan suami isteri yang sudah bersara, Encik Yusuf Saibi dan Cik Endon Daromi, kedua-duanya 71 tahun, berkata barangan tersebut dapat membantu mereka mengalihkan sebahagian wang untuk keperluan lain.

Encik Yusuf menghadapi kesukaran untuk berjalan akibat kecederaan pada tulang belakangnya.

Menurut Cik Endon, ini membolehkan mereka jimat untuk membeli keperluan suaminya, seperti lampin.

Encik Yusuf Saibi (berkerusi roda) bergambar bersama Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (paling kiri) dan penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee Encik Zaqy Mohamad di majlis pelancaran ‘Tawaran MY $1’. Turut bersamanya ialah isteri, Cik Endon Daromi (berdiri tengah).
Encik Yusuf Saibi (berkerusi roda) bergambar bersama Perdana Menteri Encik Lawrence Wong (paling kiri) dan penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee Encik Zaqy Mohamad di majlis pelancaran ‘Tawaran MY $1’. Turut bersamanya ialah isteri, Cik Endon Daromi (berdiri tengah). - Foto ihsan YUSUF SAIBI
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg