Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Masyarakat S’pura sumbang lebih $2.6j bagi bantuan kemanusiaan Gaza

RLAF: Penghantaran melalui darat ke Gaza akan bermula pada Jan 2025
Dec 20, 2024 | 6:46 PM
Lebih  $2.6 juta berjaya dikumpulkan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan kanak-kanak serta keluarga mereka di Gaza, menurut kenyataan media RLAF pada 20 Disember.
Lebih $2.6 juta berjaya dikumpulkan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan kanak-kanak serta keluarga mereka di Gaza, menurut kenyataan media RLAF pada 20 Disember. - Foto FACEBOOK / RLAF

Lebih $2.6 juta berjaya dikumpulkan bagi memenuhi keperluan kemanusiaan kanak-kanak serta keluarga mereka di Gaza.

Sumbangan itu dikumpulkan dari 18 September hingga 13 Disember oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Organisasi Amal Jordan Hashemite (JHCO) serta badan amal tempatan, Humanity Matters (HM).

Dalam kenyataan medianya pada 20 Disember, RLAF menggariskan sokongan yang memberangsangkan daripada pelbagai masyarakat Singapura yang merangkumi pelbagai agama, peringkat umur serta profesion.

“Pengenalan inisiatif baru termasuk kutipan di kawasan awam dan pembungkusan barangan bantuan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Adalah mengharukan apabila saya melihat ratusan sukarelawan daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu... meluangkan masa dan tenaga mereka untuk tujuan murni ini.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada semua penderma, sukarelawan serta rakan kerjasama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut melahirkan penghargaannya dalam satu kiriman Facebook pada hari yang sama.

“Kempen pengumpulan dana seperti Harmony-in-Action, Marsiling-Yew Tee Gives, Konsert Suara Utara Rock untuk Rakyat anjuran Kelab Masyarakat Woodlands serta sokongan masjid-masjid serata Singapura dan penderma persendirian telah memainkan peranan penting dalam usaha mengumpul dana RLAF,” katanya.

“Usaha yang luar biasa ini mencerminkan kekuatan masyarakat kita, berdiri sebagai satu masyarakat yang bersatu padu dalam menyokong kempen bantuan kemanusiaan rentas sempadan dan kepercayaan.

“Singapura terus komited melakukan lebih banyak lagi, bekerja rapat dengan rakan-rakan kongsi antarabangsa kita untuk terus menyampaikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan kepada mereka yang terjejas oleh krisis kemanusiaan di Gaza.”

Dana yang dikumpulkan akan diagihkan melalui rakan kerjasama RLAF – Unicef, JHCO dan HM untuk memastikan bantuan penting sampai kepada masyarakat yang terjejas di Gaza.

Menurut RLAF, penghantaran melalui darat ke Gaza akan bermula pada Januari 2025 dengan bantuan HM.

RLAF telah menyerahkan bahagian pertama sumbangan sebanyak $700,000 kepada Unicef pada 1 November 2024, termasuk $200,000 daripada Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Selaras dengan keperluan peraturan, dana yang dikumpulkan akan diaudit, dan laporan terakhir akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Amal (CoC) untuk memastikan ketelusan serta tadbir urus yang baik.

RLAF turut menyampaikan penghargaan yang mendalam atas sokongan, kemurahan hati dan belas ihsan rakyat Singapura, serta individu, kumpulan dan organisasi yang terlibat.

“Setiap dolar yang dikumpulkan membawa kita selangkah lebih dekat untuk meringankan penderitaan penduduk Gaza, memberikan harapan dan kelegaan kepada kanak-kanak serta keluarga yang menghadapi kesusahan,” kata RLAF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg