Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barisan Sosialis antara 14 parti politik tidak aktif dibatal pendaftaran

Dec 5, 2025 | 6:48 PM
Barisan Sosialis, political party, government
Antara 14 parti politik yang disenaraikan dalam notis Warta Pemerintah termasuk Barisan Sosialis, yang pernah menjadi parti pembangkang terbesar di Singapura. - Foto fail

Sebanyak 14 parti politik yang tidak lagi aktif di Singapura telah dibatalkan pendaftaran selepas gagal memenuhi kewajipan di bawah undang-undang campur tangan asing Singapura.

Parti yang dibatalkan pendaftarannya melalui notis dalam Warta Pemerintah pada 4 Disember itu termasuk Barisan Sosialis, yang pernah menjadi parti pembangkang terbesar di Singapura, serta Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Ong Eng Guan, pada 1961 selepas beliau dipecat daripada parti tersebut.

Dengan pembatalan itu, Singapura kini mempunyai 20 parti politik yang berdaftar, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), yang menaungi Pejabat Pendaftaran Persatuan, lapor The Straits Times (ST).

Pada Ogos lalu, pendaftar telah meminta bukti kewujudan 14 parti tidak aktif itu melalui satu notis dalam Warta Pemerintah kerana gagal mematuhi Akta Langkah Tindakan Balas Campur Tangan Asing (Fica).

Di bawah undang-undang tersebut, semua parti politik di Singapura dikategorikan sebagai “individu berkepentingan politik tertentu”, dan perlu memenuhi keperluan tahunan berkaitan dengan sumbangan, sukarelawan, kepimpinan dan hubungan luar.

Sebagai contoh, mereka perlu melaporkan mana-mana sumbangan berjumlah $10,000 atau lebih, dan tidak dibenarkan menerima sumbangan daripada warga asing. 

Individu dalam parti juga perlu mengisytiharkan sama ada mereka telah menerima manfaat imigresen daripada pemerintah luar, seperti kerakyatan kehormat atau taraf penduduk tetap.

MHA sebelum ini berkata 14 parti tersebut tidak mematuhi kewajipan pelaporan mereka, mungkin kerana mereka tidak lagi wujud, dan Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik pula tidak dapat menghubungi mereka.

Oleh itu, Pejabat Pendaftaran Pendedahan Asing dan Politik memulakan proses pembatalan pendaftaran di bawah Akta Pertubuhan, dengan menerbitkan satu notis dalam warta menggesa parti tersebut mengemukakan bukti kewujudan dalam tempoh tiga bulan.

Pada 4 Disember, MHA berkata sepanjang tempoh tiga bulan itu, tiada satu pun daripada 14 parti politik tersebut mengemukakan bukti bahawa mereka masih wujud.

Parti tersebut ialah: Parti Perikatan Singapura; Barisan Sosialis; Parti Kebangsaan Singapura; Partai Rakyat, Singapore State Division; Parti Kesatuan Ra’ayat; Barisan Rakyat; Parti Liberal Demokratik Rakyat; Parti Republik Rakyat; Persatuan Melayu Singapura; Parti Cina Singapura; Kongres India Singapura; Barisan Nasional Bersatu; dan Barisan Rakyat Bersatu.

Beberapa parti itu mempunyai kaitan dengan era prakemerdekaan Singapura, dan kebanyakannya aktif pada 1950-an dan 1960-an.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg