Topik diikuti
Pergi ke BHkuBaru 3 hari gelar suami, anggota kerahan sertai Latihan Wallaby di Australia
Anggap latihan di luar negara sebagai anggota infantri berperisai peluang keemasan, bangga terpilih
Baru 3 hari gelar suami, anggota kerahan sertai Latihan Wallaby di Australia
Hanya tiga hari selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar suami, Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSMen), Koperal (CPL) NS Mohammad Hafiz Mohammad Marzuki, meninggalkan isterinya di Singapura untuk menyertai Latihan Wallaby (XWB) di Queensland, Australia.
Beliau, yang berusia 27 tahun, berkahwin pada 18 Oktober sebelum tiba di Australia pada 21 Oktober untuk menyertai XWB 2026 sebagai anggota infantri berperisai dalam Batalion ke-408, Rejimen Berperisai Singapura (408 SAR).
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di Kawasan Latihan Shoalwater Bay (SWBTA) pada 27 Oktober, CPL (NS) Hafiz berkata peluang menjalani latihan di luar negara bersama rakan-rakan seperjuangannya dalam 408 SAR merupakan satu kebanggaan.
“Tidak ramai yang berpeluang menyertai unit ini, apatah lagi mengambil bahagian dalam latihan XWB.
“Saya berasa bangga kerana diberi peluang untuk menyertai latihan yang begitu penting ini,” ujar beliau, yang berseragam hijau lengkap dengan celoreng di muka ketika itu.
CPL (NS) Hafiz merupakan antara sekitar 500 anggota 408 SAR yang menyertai XWB dari 20 Oktober hingga 2 November.
Secara keseluruhan, kira-kira 6,000 anggota dan 1,200 aset daripada Tentera Singapura, Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) menyertai XWB 2026 yang diadakan dari 6 September hingga 2 November.
408 SAR merupakan batalion perisai NS pertama untuk mengadakan tembakan dengan peluru hidup di XWB, dengan menggunakan Sistem Tembakan Hidup Perisai (ALFS).
Sistem Tembakan Hidup Berperisai (ALFS) memperlihatkan penyepaduan antara pasukan darat dengan pasukan udara dalam keadaan latihan yang realistik.
Ini dengan elemen pergerakan Tentera Darat dan aset udara RSAF beroperasi bersama bagi menyelaraskan pergerakan, penentuan sasaran dan tembakan.
Pihak media berpeluang melihat sendiri integrasi pasukan darat-udara tersebut, berlatarbelakangkan deruman helikopter Apache AH-64D dan bunyi tembakan daripada kenderaan infantri tempur Bionix.
Menyentuh tentang pentingnya penglibatan NSMen dalam XWB 2026, Pegawai Pemerintah (CO) 408 SAR, Mejar (NS) Eugene Lim, berkata latihan di Australia itu membolehkan NSmen menyepadukan pelbagai keupayaan sokongan dalam persekitaran tembakan yang menggunakan peluru hidup, serta memperkukuh keupayaan unit melaksanakan misi kompleks dengan selamat.
“Sebaik sahaja kami beralih daripada anggota NS Sepenuh Masa (NSF) kepada NSmen, ia sebenarnya mengesahkan bahawa kami sudah bersedia dari segi operasi.
“Latihan luar negara yang merangkumi latihan tembakan menggunakan peluru hidup ini membolehkan NSMen menjalani latihan pergerakan gabungan.
“Lebih penting lagi, ia membolehkan kami mengesahkan keupayaan khusus unit kami untuk melaksanakan misi yang kompleks dengan selamat,” ujar beliau.
Bagi CPL (NS) Hafiz, yang buat julung-julung kalinya menjalani latihan dalam kem di luar negara menerusi XWB, latihan tembakan menggunakan peluru hidup di Australia merupakan satu pengalaman yang mencabar dari segi fizikal dan mental.
Faktor seperti cuaca panas sepanjang latihan menuntut para anggota menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran.
“Saya memang berasa penat kerana cuaca hari ini sangat panas.
“Namun, saya kagum dengan daya tahan rakan-rakan seperjuangan saya dalam menghadapi cuaca sebegini,” kongsi anak sulung dalam tiga beradik itu.
Menurutnya, pengalaman menjalani XWB ini tambah lebih bermakna, lebih-lebih lagi dengan rakan-rakan seperjuangannya yang telah dikenalinya selama enam hingga tujuh tahun.
“Mereka telah menyaksikan setiap fasa kehidupan saya, daripada zaman bujang, bercinta, bertunang sehinggalah, alhamdulillah, kini bergelar suami.
“Mereka juga antara orang pertama yang mengetahui tentang isteri saya.
“Jadi, saya lebih gembira kerana dapat melalui pengalaman ini bersama rakan-rakan yang telah saya kenali selama tujuh tahun,” ujar CPL (NS) Hafiz.
Mentelah lagi, beliau menghargai isterinya, yang mahu dikenali sebagai Cik Wilma, 26 tahun, yang sangat memahami dan menyokong keputusannya untuk menyertai latihan tahunan luar negara itu.
“Sejujurnya, kehidupan berumah tangga kami pun masih belum benar-benar bermula.
“Jadi, ini merupakan salah satu cabaran peribadi bagi saya.
“Alhamdulillah, saya mempunyai seorang isteri yang sangat memahami.
“Apabila saya memberitahunya buat kali pertama bahawa saya akan menyertai Latihan Wallaby, beliau berkata, ‘Okey, kalau awak nak pergi, pergilah,’ kerana beliau sendiri memahami betapa eratnya hubungan saya dengan rakan-rakan seperjuangan,” kongsi CPL (NS) Hafiz.
