Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baru 3 hari jalani latihan NS, sudah terasa jerih payah pertahan negara

Wartawan BH sertai lebih 200 wanita dalam sesi ‘bootcamp’ tentera wanita
Dec 15, 2025 | 5:30 AM
Standard Obstacle Course, bootcamp, NS, WBC
Lebih 200 wanita berkumpul di Kem Maju pada 21 November untuk mengamati sendiri realiti latihan Perkhidmatan Negara (NS), dengan berkunjung ke Kem Latihan Wanita (WBC) dan menjalani ujian balapan berhalang, ‘Standard Obstacle Course’ (SOC). - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Selama ini, pensyarah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Siti Khadijah Mohamed Fawzi, sentiasa memikirkan tentang jerih payah yang diharungi kaum Adam termasuk bekas pelajarnya yang menyahut panggilan negara untuk menjalani Perkhidmatan Negara (NS).

Justeru, pada 21 November, beliau merupakan antara lebih 200 wanita yang berkumpul di Kem Maju untuk mengamati dan melalui sendiri realiti latihan dan kehidupan Anggota NS yang diamanahkan dengan tanggungjawab mempertahankan negara.

Selain Cik Siti Khadijah, saya juga antara kaum Hawa yang ingin rasakan sendiri pengalaman yang dilalui Anggota NS selama dua tahun mengasah kemahiran di medan pertahanan.

Selepas mendengar banyak kisah mengenai latihan intensif, disiplin harian yang ketat serta rungutan tentang sajian di kem, saya pun tidak mensia-siakan peluang menyertai edisi keenam, Kem Latihan Wanita atau Women’s Bootcamp (WBC) itu.

Pastinya mendengar cerita mengenainya tidak dapat dibandingkan dengan realiti yang perlu diharungi sendiri.

Menurut Kementerian Pertahanan (Mindef), 201 peserta bagi WBC merupakan penyertaan terbesar setakat ini.

Ia bahkan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding 2024 dan disokong oleh Majlis Penasihat Perhubungan Masyarakat dalam Pertahanan (Accord) bersama Kor Sukarelawan SAF (SAFVC).

Antara perkara pertama yang kami pelajari ialah latihan kawad yang dipimpin oleh anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan SAFVC.

Kami perlu akur pada ketetapan water parade (perintah meminum air sebanyak mungkin supaya mengelakkan penyahhidratan) sambil menghafal lapan nilai teras SAF, iaitu Kesetiaan kepada Negara, Kepimpinan, Disiplin, Profesionalisme, Semangat Juang, Etika, Prihatin terhadap Askar dan Keselamatan.

Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) melakukan ‘water parade’ (perintah meminum air sebanyak mungkin supaya mengelakkan penyahhidratan) sambil melafazkan lapan nilai teras Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) melakukan ‘water parade’ (perintah meminum air sebanyak mungkin supaya mengelakkan penyahhidratan) sambil melafazkan lapan nilai teras Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Latihan seperti itu dilakukan setiap 6 pagi dan juga sebelum waktu tidur yang ditetapkan pada 10.30 malam.

Saya difahamkan langkah itu dilakukan agar keselamatan dan kesejahteraan anggota SAF sentiasa terjamin – satu prinsip penting yang sering diterapkan dengan jelas sepanjang kem tersebut.

Perkara itu turut dilihat semasa demonstrasi misi menyelamat yang mempamerkan tindakan pegawai perubatan kombat SAF dalam suasana simulasi persis kekecohan medan perang sebenar sambil memastikan tahap keselamatan tentera sentiasa terjaga.

Dalam pada itu, kami diberi peluang mencuba melakukan bantuan kecemasan bagi rakan sepertempuran serta latihan memberi pernafasan kecemasan.

Ia memerlukan kami mengangkat ‘patung’ yang kononnya cedera ke sebuah tempat selamat sebelum melakukan pernafasan kecemasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR).

Wartawan Berita Harian, Insyirah Mohd Shukor (kiri), melakukan pernafasan kecemasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas patung semasa latihan simulasi misi menyelamat dalam Kem Latihan Wanita (WBC) 2025.
Wartawan Berita Harian, Insyirah Mohd Shukor (kiri), melakukan pernafasan kecemasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas patung semasa latihan simulasi misi menyelamat dalam Kem Latihan Wanita (WBC) 2025. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN
Latihan simulasi misi menyelamat memaparkan simulasi persis kekecohan sebenar di medan perang. Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) mempelajari cara memberi bantuan kecemasan kepada ‘mangsa’ di bawah tekanan dan masa terhad.
Latihan simulasi misi menyelamat memaparkan simulasi persis kekecohan sebenar di medan perang. Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) mempelajari cara memberi bantuan kecemasan kepada ‘mangsa’ di bawah tekanan dan masa terhad. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Dalam keadaan siren kuat, cahaya malap dan perlunya membuat keputusan secara pantas, latihan itu menunjukkan tekanan psikologi yang harus ditangani anggota perubatan dan anggota SAF lain dalam keadaan sebenar dan bukan sekadar kemahiran teknikal semata-mata.

Kami juga melalui latihan Jurulatih Kemahiran Menembak Individu (IMT), menembak menggunakan senapang SAR-21 dalam suasana tertutup dan di bawah pemantauan rapi para jurulatih.

Ini merupakan latihan wajib bagi setiap rekrut sebelum mereka layak menjalani sesi tembakan hidup.

Di balapan berhalang standard, atau Standard Obstacle Course (SOC), kami mencuba halangan seperti Stepping Stones (platform yang menguji keupayaan mengimbangi diri dan ketangkasan bertindak); dan Low Rope (tali yang menguji keupayaan menyelaras, genggaman dan kekuatan rekrut).

Balapan berhalang standard, atau ‘Standard Obstacle Course’ (SOC), yang menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang individu. Latihan itu bertujuan membina kelincahan, daya tahan dan semangat berpasukan, dan lazimnya perlu diselesaikan dalam had masa sambil memakai peralatan penuh.
Balapan berhalang standard, atau ‘Standard Obstacle Course’ (SOC), yang menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang individu. Latihan itu bertujuan membina kelincahan, daya tahan dan semangat berpasukan, dan lazimnya perlu diselesaikan dalam had masa sambil memakai peralatan penuh. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Walaupun menganggap diri saya sebagai seorang yang agak cergas, setiap halangan tetap memerlukan kekuatan, keseimbangan dan keyakinan diri.

Itu pun belum termasuk had masa dan perlunya membawa senapang seperti yang dilalui oleh anggota SAF semasa latihan sebenar.

Ini membuat saya sedar betapa payah menguasai pergerakan asas seorang askar.

Apa yang kami lalui hanyalah secebis daripada pengalaman sebenar yang dilalui kaum Adam semasa NS.

Semasa majlis penutup, Menteri Negara (Pertahanan), Encik Desmond Choo, berkata keselamatan Singapura adalah tanggungjawab bersama bagi semua, tidak kira lelaki atau wanita.

“Usaha memastikan Singapura kekal kukuh dan berdaya tahan adalah satu usaha yang sentiasa berkembang, terutama dalam suasana serantau dan geopolitik yang semakin mencabar.

“Hari ini, konflik masih berlaku di beberapa benua, dan kita tidak boleh mengambil mudah keamanan yang kita nikmati.

“Lantas, pertahanan Singapura adalah tanggungjawab bersama.

“Kita hanya dapat mencapai matlamat pertahanan negara jika kita sedar akan ancaman yang kita hadapi, tahu apa yang perlu dilakukan dan memainkan peranan dalam memperkukuh pertahanan negara,” tambah beliau kepada pihak media.

Meskipun kem latihan itu tidak mencerminkan pengalaman NS secara keseluruhan, ia adalah satu peluang bagi kaum Hawa seperti saya untuk memahami dunia yang lazimnya hanya dilalui kaum Adam.

Malah, inisiatif seperti itu seharusnya menjadi pemangkin untuk kita saling memahami peranan dan amanah masing-masing.

Sepanjang kem, saya juga berpeluang bertemu peserta wanita daripada pelbagai latar belakang.

Ada yang hadir sebagai pasangan ibu dan anak, ada yang bekerja dalam sektor pendidikan dan ada juga yang baru sahaja memperolehi kerakyatan Singapura.

Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) daripada pelbagai latar belakang saling menjadi sumber sokongan antara satu sama lain semasa program tiga hari itu.
Peserta Kem Latihan Wanita (WBC) daripada pelbagai latar belakang saling menjadi sumber sokongan antara satu sama lain semasa program tiga hari itu. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Kepelbagaian itu memaparkan betapa luasnya minat masyarakat untuk memahami pengalaman NS secara lebih dekat.

Cik Siti Khadijah akur penyertaannya dalam kem tersebut adalah bagi memahami apa yang bakal dilalui pelajarnya apabila mendaftar untuk NS kelak.

Pensyarah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Siti Khadijah Mohamed Fawzi, menyertai Kem Latihan Wanita supaya dapat memahami apa yang bakal dilalui pelajarnya apabila tiba masa mereka menjalani Perkhidmatan Negara (NS).
Pensyarah Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Siti Khadijah Mohamed Fawzi, menyertai Kem Latihan Wanita supaya dapat memahami apa yang bakal dilalui pelajarnya apabila tiba masa mereka menjalani Perkhidmatan Negara (NS). - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

“Sebagai seorang pensyarah, saya memang datang dengan minda terbuka.

“Saya menyertai kem ini supaya dapat berkongsi pengalaman dengan mereka (pelajar) sebelum memasuki NS, dan pada masa sama, meyakinkan mereka jauh lebih kuat daripada apa yang mereka pernah bayangkan,” tambahnya.

​​Malah, setiap kegiatan yang dijalankan membuatkan kami semakin kagum dengan tahap disiplin, ketabahan dan fokus yang diperlukan oleh anggota NS.

Saya sendiri sudah keletihan selepas tiga hari.

Penulis (dua dari kiri) bersama peserta lain saling memberi dorongan semangat sebelum permulaan kegiatan pada hari terakhir Kem Latihan Wanita (WBC) 2025, mencerminkan semangat sepasukan dan sokongan berterusan yang terbina sepanjang program tersebut.
Penulis (dua dari kiri) bersama peserta lain saling memberi dorongan semangat sebelum permulaan kegiatan pada hari terakhir Kem Latihan Wanita (WBC) 2025, mencerminkan semangat sepasukan dan sokongan berterusan yang terbina sepanjang program tersebut. - Foto BH oleh AMEERAH SALLEHUDDIN

Bayangkan jika rutin kegiatan lasak itu perlu ditempuhi selama dua tahun, sepertimana yang dijalani ‘Abang-Abang’ NS.

Pada akhirnya, itulah tujuan sebenar Kem Latihan Wanita – bukan untuk menjadikan kita askar, namun untuk memahami, menyokong dan lebih bersedia sebagai sebahagian daripada benteng pertahanan Singapura.

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg