Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Komitmen berterusan anggota NS diiktiraf

Kolonel (NS) Halmie Hussein Mattar antara 691 penerima Pingat Bakti Setia Anugerah Hari Kebangsaan
Nov 24, 2025 | 7:00 PM
Chan Chun Sing, Halmie Hussein Mattar
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (kanan) menyampaikan Pingat Bakti Setia kepada Komander Briged Divisyen Singapura Ketiga, Kolonel Perkhidmatan Negara (NS) Halmie Hussein Mattar semasa Majlis Anugerah Hari Kebangsaan 2025 pada 24 November di Auditorium Kementerian Pertahanan (Mindef). - Foto ST

Sebagai Ketua Pegawai Teknologi di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kolonel Perkhidmatan Negara (NS) Halmie Hussein Mattar, 48 tahun, menghabiskan kebanyakan masanya mengetuai pasukan lebih 50 kakitangan dalam pembangunan penyelidikan, inovasi teknologi dan perancangan operasi.

Namun, selama dua minggu setiap tahun, tumpuannya beralih sepenuhnya kepada tugasnya bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Dalam peranan itu, beliau mengetuai empat batalion sebagai Komander Briged di bawah Divisyen Singapura Ketiga.

Itulah komitmen yang terus dipegang Kolonel Halmie sejak beliau bersara sebagai pegawai tetap SAF pada 2015 sambil meneruskan perjalanannya sebagai anggota NS, menandakan lebih 28 tahun khidmat dalam Angkatan Darat.

Sumbangan dan dedikasinya diiktiraf semasa Majlis Anugerah Hari Kebangsaan 2025 pada 24 November di Auditorium Kementerian Pertahanan (Mindef), di mana beliau menjadi antara 691 penerima Pingat Bakti Setia.

Selain anugerah itu, sebanyak 164 Pingat Kepujian, 155 Pingat Kecekapan turut dianugerahkan kepada anggota tentera dan bukan tentera dari Mindef dan SAF.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, dan Menteri Negara (Pertahanan) Encik Desmond Choo.

Antara kenangan paling bermakna dalam perkhidmatannya ialah apabila beliau diberi amanah sebagai pengerusi sambutan Hari Kebangsaan peringkat kejiranan bagi daerah Barat Laut dan Barat Daya pada 2025.

Dalam peranan itu, beliau mengetuai perancangan bersama pelbagai pihak berkepentingan, seperti rakan NS dan Persatuan Rakyat (PA) untuk membawa aset SAF lebih dekat kepada masyarakat.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), beliau akur peranannya tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa sokongan erat orang di sekelilingnya.

Isterinya, Cik Erniwati Abdul Rahim, bersama dua cahaya mata yang kini berusia 21 dan 17 tahun, telah lama menyesuaikan rutin harian setiap kali beliau dipanggil bertugas.

“Isteri saya banyak membantu menguruskan keperluan di rumah, termasuk menghantar kededua anak saya ke kelas tambahan ketika mereka masih kecil,” katanya.

Anak-anak beliau juga sanggup menyesuaikan jadual masing-masing agar dapat meluangkan masa bersama ayahnya.

“Ia pengorbanan kecil bagi mereka, tetapi sangat besar ertinya kepada saya,” tambahnya.

Menurut Kolonel Halmie, rakan sepasukan NEA memahami keperluannya untuk menunaikan tanggungjawab beliau terhadap pertahanan negara.

Ini, tambahnya, hanya dapat dilakukan melalui perancangan rapi, komunikasi jelas dan budaya saling mempercayai.

“Sama seperti di SAF, kami menitikberatkan saling kefahaman dan kerjasama di tempat kerja. Tiada siapa berfungsi seorang diri.

“Sokongan mereka membolehkan saya beri komitmen penuh kepada negara, tanpa terlalu membimbangkan setiap perkara yang berlaku di pejabat,” ujarnya.

Lantas, beliau menyifatkan anugerah ini sebagai tanda penghargaan kepada setiap individu yang telah menyokong dalam usaha beliau untuk terus berkhidmat kepada negara.

“Setiap daripada mereka memainkan peranan dalam perjalanan saya. Berkhidmat adalah satu amanah, dan saya akan terus memberi yang terbaik selagi mampu,” katanya.

Dengan anak lelakinya sendiri sedang melalui NS, beliau berkata pengalamannya setakat ini turut memberi peluang untuk memperketatkan silaturahim bersama puteranya.

Beliau berharap legasi itu dapat diteruskan dalam kalangan generasi NS lebih muda.

“Saya berharap dapat memupuk semangat itu dalam generasi masa depan, supaya mereka terus memainkan peranan dalam mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg