Penumpang yang menaiki bas Causeway Link dari Newton dan Queen Street untuk ke Johor tidak lagi boleh membayar tambang secara tunai semasa menaiki bas rentas sempadan itu sejak 20 Ogos.

Sebaliknya, mereka perlu membuat bayaran menggunakan kad kredit Visa atau Mastercard; ManjaLink atau EZ-Link.

ManjaLink ialah kad pintar tanpa sentuh yang digunakan untuk pembayaran tanpa tunai bagi bas rentas sempadan Causeway Link, atau laluan bas terpilih di Johor.

Di samping itu, pembayaran juga boleh dibuat menerusi aplikasi LUGO atau menggunakan e-tiket perjalanan satu hala.

Penumpang yang memilih untuk membuat pembayaran secara tunai perlu membeli tiket sebelum menaiki bas.

Orang ramai yang mengambil bas dari Queen Street boleh mendapatkan tiket bas di kiosk ManjaLink, manakala mereka yang menaiki bas dari Newton boleh membeli kad ManjaLink daripada kakitangan Causeway Link di sana.

Dalam pada itu, selain bas Causeway Link, penumpang di Queen Street yang ingin membuat perjalanan ke Malaysia juga boleh menggunakan perkhidmatan bas SBS 170.

Pilihan pengangkutan awam bagi perjalanan ke Johor Bahru juga dijangka bertambah apabila Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura mula beroperasi.

Baru-baru ini, Berita Harian (BH) melaporkan bahawa Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, memaklumkan bahawa kerajaan negara itu bercadang untuk menyediakan lebih 200 bas baharu menerusi Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) 2.0.

Inisiatif itu bertujuan menghubungkan kawasan perumahan di sekitar Johor Bahru dengan Bukit Chagar.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan penumpang RTS Link mempunyai akses yang lebih baik kepada pengangkutan awam apabila tiba di Bukit Chagar.

Selain perkhidmatan bas, pergerakan penumpang dari stesen RTS Link ke destinasi seterusnya turut akan disokong perkhidmatan e-hailing serta pengangkutan awam lain.

Kerajaan Malaysia juga akan membina laluan penghubung bernilai RM60 juta ($18.9 juta) antara Stesen RTS Link Bukit Chagar dengan KTM Komuter di JB Sentral.

Laluan tersebut dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan untuk disiapkan dan bertujuan memudahkan penumpang bertukar perjalanan antara perkhidmatan RTS Link dengan KTM Komuter, selain mengurangkan jarak berjalan kaki.

Menurut Encik Loke juga, Stesen Bukit Chagar kini sudah siap dari segi fizikal, manakala projek RTS Link telah memasuki fasa pengujian dan pentauliahan.

Beliau berkata kesemua lapan tren RTS Link telah melalui fasa penting pengujian, melibatkan ujian integrasi bagi pelbagai sistem seperti sistem semboyan, komunikasi, bekalan kuasa serta kutipan tambang automatik.

Namun, kadar tambang dan tarikh muktamad operasi RTS Link masih belum diumumkan kerana keputusan tersebut akan dibuat dan diumumkan secara bersama oleh Malaysia dan Singapura.