Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bas pandu sendiri bakal diuji pertengahan 2026 di sekitar Marina Bay, Shenton Way

Jan 27, 2025 | 5:00 PM
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) melancarkan tender bagi mendapatkan cadangan untuk rancangan pengendalian bas awam autonomi pada 27 Januari.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) melancarkan tender bagi mendapatkan cadangan untuk rancangan pengendalian bas awam autonomi pada 27 Januari. - Foto FACEBOOK LTA

Mulai pertengahan 2026, enam bas pandu sendiri akan melalui laluan sekitar Marina Bay dan Shenton Way, serta taman perniagaan One-North, sebagai sebahagian daripada program perintis oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk menguji perkhidmatan bas awam autonomi.

Pada 27 Januari, LTA melancarkan Permohonan bagi Saranan (RFP) bagi mendapatkan cadangan untuk rancangan pengendalian bas awam autonomi.

Ia menyasarkan untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal kenderaan autonomi (AV) untuk perkhidmatan bas awam, dan dapatkan pandangan tentang aspek operasi menjalankan bas autonomi pada kededua peringkat perkhidmatan dan armada.

LTA berkata: “Bas autonomi akan beroperasi bersama bas dengan pemandu sedia ada, dan akan beroperasi mulai pertengahan 2026 selama tiga tahun.

“Bergantung kepada prestasi bas autonomi ini, LTA mungkin mempertimbang untuk membeli sehingga 14 bas autonomi tambahan, yang akan meluaskan program perintis tersebut kepada dua lagi perkhidmatan bas awam.”

Menurut kenyataan LTA pada 27 Januari, program perintis tersebut akan bermula dengan bas yang lebih kecil dengan sekurang-kurangnya 16 tempat duduk, iaitu bas perkhidmatan 400 di laluan Marina Bay/Shenton Way, diikuti dengan bas perkhidmatan 191 dengan laluan One-North.

Pemenang tender akan bekerjasama rapat dengan pengendali semasa bas perkhidmatan 191 dan 400, SBS Transit (SBST), untuk membangunkan konsep dan rancangan operasi untuk mengendalikan bas awam autonomi itu.

Semasa fasa awal, bas akan beroperasi dengan kapten bas sebagai pengendali keselamatan.

“Bas autonomi mesti penuhi keperluan operasi, termasuk pengambilan dan penghantaran yang selamat di semua perhentian yang ditetapkan.

“Pemenang tender dijangka beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan untuk menunjukkan kebolehpercayaan keupayaan memandu sendiri dan operasi jauh bas autonomi, dan kemudian pengendali keselamatan jauh boleh mengambil alih peranan penyeliaan,” ujar LTA.

Saranan yang diberikan harus merangkumi model bas yang dicadangkan, pengurusan armada dan sistem operasi jauh, infrastruktur pengecasan elektrik, perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk operasi AV, serta perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan yang berkaitan.

LTA akan menilai merit cadangan berdasarkan kematangan teknologi AV, rekod prestasi pemaju AV dalam penempatan tempatan dan/atau luar negara dan keupayaan memenuhi keperluan operasi perkhidmatan bas awam.

Keseluruhan cadangan infrastruktur sokongan seperti pengurusan armada AV dan sistem pengecasan juga akan dipertimbangkan.

RFP dijangka ditutup pada suku kedua 2025, dengan kontrak dijangka diberikan pada akhir 2025.

Dalam pos Facebook selepas pengumuman LTA, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berkata keutamaannya adalah agar pekerjanya dapat dilengkapi dan bersedia untuk peralihan yang lancar ke dalam program perintis ini.

“Program perintis ini adalah penting kerana ia akan meletakkan asas untuk memanfaatkan teknologi autonomi untuk meningkatkan kehidupan dan mata pencarian pekerja kita sambil membawa masuk bakat baru ke dalam sektor pengangkutan awam.

“NTUC komited untuk bekerjasama rapat dengan LTA, Pengendali Pengangkutan Awam (PTO) dan ekosistem pengangkutan awam untuk memastikan pekerja kami berkembang maju melalui peralihan ini demi masa hadapan,” kata eksekutif setiausaha Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg