Seorang remaja berusia 19 tahun yang cuba melarikan diri dengan motosikal daripada pegawai Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang kemudiannya meninggal dunia ketika mengejarnya, dijatuhi hukuman penjara dua tahun tiga bulan dan enam kali sebatan.
Remaja tersebut juga dilarang memiliki atau mendapatkan semua jenis lesen memandu selama lima tahun selepas dibebaskan.
Ketika menjatuhkan hukuman pada 23 Januari, Timbalan Ketua Hakim Daerah, Encik Kessler Soh, berkata memandangkan remaja itu telah melakukan pelbagai kesalahan serius, hukuman probesen – yang biasanya dikenakan ke atas pesalah remaja – tidak sesuai untuk kes itu.
Remaja yang kini dalam tahanan reman itu, telah menghadiri prosiding mahkamah melalui pautan video dan berdiam diri ketika hukuman dibacakan, lapor The Straits Times (ST).
Hukuman itu adalah bagi enam pertuduhan yang diakuinya pada 10 Januari, termasuk menunggang motosikal secara berbahaya dan mengambil dadah.
Tujuh pertuduhan lain turut diambil dalam pertimbangan ketika hukuman dijatuhkan.
Bagi kesalahan yang melibatkan kematian pegawai LTA itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan.
Nama remaja tersebut tidak boleh didedahkan kerana dia berusia 17 tahun ketika mengambil dadah metamfetamin. Mereka yang berusia di bawah 18 tahun dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda.
Pada 4 Jun 2024, remaja itu menunggang motosikal secara berbahaya di Ekspreswe Seletar untuk melarikan diri daripada pegawai LTA, Encik Zdulfika Ahakasah, 26 tahun, yang telah mengarahkannya supaya berhenti.
Encik Zdulfika terlanggar pembahagi jalan dan tercampak dari motosikalnya semasa mengejar remaja tersebut sebelum beliau disahkan meninggal dunia di hospital.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Encik Thaddeus Tan, berkata remaja itu tidak berhenti walaupun telah diarahkan oleh pegawai tersebut, kerana sedar dirinya dikehendaki Biro Narkotik Pusat (CNB) atas kesalahan dadah dan juga kerana dia tidak mempunyai lesen yang sah.
DPP Tan turut menegaskan bahawa walaupun remaja tersebut tahu Encik Zdulfika telah terjatuh dari motosikalnya, dia terus melarikan diri tanpa menoleh ke belakang.
Pihak pendakwaan menambah, remaja itu telah melakukan kesalahan secara berterusan, dengan 13 kesalahan dalam tempoh 10 bulan.
Justeru, pihak pendakwaan menggesa hukuman keseluruhan penjara dua tahun dan tiga bulan setengah hingga lima bulan setengah, enam kali sebatan, serta perintah larangan memiliki lesen selama lima tahun bagi remaja tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg