Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bas ulang-alik percuma dilancar bagi penduduk kelompok Marine Parade

Khidmat berhenti di poliklinik, pasar dan stesen MRT; beroperasi pada waktu kurang sibuk
Jun 30, 2024 | 8:28 PM
Penduduk dari kelompok Marine Parade menghadiri acara pelancaran khidmat bas percuma di Kelab Masyarakat Kampong Kembangan pada 30 Jun.
Penduduk dari kelompok Marine Parade menghadiri acara pelancaran khidmat bas percuma di Kelab Masyarakat Kampong Kembangan pada 30 Jun. - Foto ZAOBAO

Perkhidmatan bas ulang-alik percuma, WeCare, telah dilancar untuk menghubungkan penduduk, terutamanya warga emas yang menetap di kelompok Marine Parade.

Ia khusus untuk memudahkan mereka mengunjungi kemudahan penting seperti poliklinik, pasar, pusat makanan dan stesen MRT.

Kelompok Marine Parade merangkumi kawasan Geylang Serai, Joo Chiat, Kembangan-Chai Chee, Marine Parade dan Braddell Heights serta Mountbatten dan MacPherson.

Mulai 8 Julai, penduduk di kawasan itu yang telah mendaftar melalui aplikasi mudah alih atau di kelab masyarakat, boleh menggunakan khidmat bas ulang-alik tersebut.

Khidmat bas ulang-alik itu akan melalui tujuh laluan berasingan dan berhenti di 40 perhentian bas selama setahun.

Bercakap kepada media semasa majlis pelancaran di Kelab Masyarakat Kampong Kembangan pada 30 Jun, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi Marine Parade di Joo Chiat, berkongsi bahawa perkhidmatan itu diharap dapat memberi manfaat kepada semua penduduk khususnya warga emas.

“Ketika kami melawat kelompok Marine Parade, para penduduk telah mengemukakan pelbagai cadangan.

“Kelompok Marine Parade, seperti seluruh Singapura, mempunyai populasi yang semakin menua.

“Walaupun ketersambungan seluruh pulau ini cekap, sesetengah penduduk telah berkongsi bahawa mereka mendapati masih ada cabaran untuk pergi ke beberapa kemudahan utama.

“Oleh itu, kami merancang laluan dengan mengambil kira kemudahan untuk penduduk ini, sambil mengimbangi penggunaan sumber yang cekap dan keperluan pengguna jalan raya lain di kawasan itu,” ujar Encik Tong.

Persatuan Rakyat (PA) dan Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, dalam kenyataan bersama pada 30 Jun berkata khidmat bas ulang-alik itu diharap dapat menyatukan penduduk Marine Parade, selain meningkatkan hubungan sosial dan penyepaduan.

Khidmat bas ulang-alik itu dijangka melalui lebih setengah juga perjalanan dalam tempoh setahun.

Pendaftaran bagi perkhidmatan bas ulang-alik ini bermula pada 30 Jun dan ia dijadual mula beroperasi pada 8 Julai.

Perkhidmatan itu akan tersedia pada waktu kurang sibuk, dari 10 pagi hingga 4 petang, Isnin hingga Jumaat, kecuali pada hari cuti umum.

Penduduk yang ingin menggunakan khidmat bas ulang-alik itu digalakkan supaya tiba di perhentian bas sekitar lima minit hingga tujuh minit sebelum bas mereka dijadual tiba.

Turut hadir semasa majlis pelancaran tersebut ialah Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng yang juga Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marine Parade.

Beliau menekankan kepentingan perkhidmatan bas ulang-alik itu.

“Ketersambungan yang lancar antara lokasi yang sering dikunjungi dalam kelompok ini juga menjadikan perniagaan tempatan lebih mudah diakses.

“Kami telah merancang tujuh laluan untuk membolehkan penduduk dengan mudah bertukar antara bas ulang-alik, terutama bagi khidmat yang berhenti di tempat-tempat yang sama, membolehkan mereka pergi ke tempat-tempat yang berbeza dalam kelompok ini.

“Inisiatif strategik ini bertujuan untuk memudahkan dan mengubah cara penduduk dan pihak berkepentingan lain dalam interaksi harian mereka, dan diharapkan agar ia dapat menggalakkan masyarakat yang lebih bersepadu, dan saling menyokong,” kata Dr Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg